MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin manakala Yayasan ASEAN diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Elaine Tan.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Luar dari 10 negara anggota ASEAN; Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Maybank dan Pesuruhjaya Presiden Maybank Indonesia, Datuk Abdul Farid Alias dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ASEAN, Kok Li Peng. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Tetap ASEAN (CPR), Phasporn Sangasubana dan Presiden Direktor Maybank Indonesia, Taswin Zakaria.

Majlis MoU itu berlangsung di bangunan Sekretariat ASEAN baharu yang dilancarkan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo sempena sambutan Hari ASEAN Ke-52.

Shahril Azuar berkata, Yayasan Maybank amat berbesar hati menandatangani MoU dengan Yayasan ASEAN atas usaha membantu memperkasakan program-program belia dan universiti di peringkat ASEAN.

“Kami berterima kasih atas peluang yang diberikan kepada Yayasan Maybank untuk menjayakan program komuniti Rangka Tindakan Masyarakat Sosiobudaya ASEAN 2025 dan Matlamat Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Projek komuniti di bawah program itu mempamerkan komitmen Maybank untuk dekat dengan masyarakat sejajar misi kami mempelbagaikan perkhidmatan kewangan Maybank,”katanya.

Menurutnya, kerjasama itu juga merupakan platform Yayasan Maybank memperluaskan peranan dan tanggungjawab sosialnya berhadapan cabaran global hari ini.

“Saya yakin program komuniti ASEAN ini mampu mendepani cabaran yang dihadapi oleh belia ASEAN terutama pelajar universiti dalam memperlihatkan kreativiti dan kemahiran mereka.

“Program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran untuk komuniti belia ASEAN yang berdaya saing pada masa depan,”katanya.