Gubahan hiasan buah seberat 35 kilogram itu menggunakan buah tembikai, tembikai susu, lobak putih dan labu sebagai bahan utama disediakan oleh pensyarah PMM, Abdul Razak Wari serta tujuh pelajar dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti.

Abdul Razak berkata, ukiran buah itu memerlukan penelitian dalam mereka ukiran Jalur Gemilang kerana ia melibatkan perkataan Sayangi Malaysiaku dan Malaysia Bersih pada bahagian bintang serta sekuntum bunga raya menghiasi gubahan tersebut.

“Berkat kesungguhan dan kerjasama pasukan ukiran buah PMM, kami memerlukan kira-kira 20 jam untuk menyiapkan tugasan ini hasil perancangan awal yang dilakukan sejak tiga minggu lalu.

UKIRAN perkataan Sayangi Malaysiaku dan Malaysia Bersih menghiasi gubahan Jalur Gemilang.
UKIRAN perkataan Sayangi Malaysiaku dan Malaysia Bersih menghiasi gubahan Jalur Gemilang.

“Alhamdulillah proses membuat ukiran buah dan bingkai bendera serta pemilihan buah-buahan itu berjaya dilaksanakan,” katanya.

Jelas Abdul Razak, bingkai gubahan buah tersebut turut ditempah khas dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Awam PMM yang mempunyai kepakaran dalam bidang mereka bentuk.

Ukiran buah ini dijadikan gimik perasmian KMJG’19 yang disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap ADUN Bemban, Datuk Dr. Wong Fort Pin, baru-baru ini.

KMJG’19 menjadikan PMM sebagai lokasi ketiga selepas berkunjung ke dua destinasi utama di Masjid Tanah dan Alor Gajah, Melaka.

Terdahulu, konvoi KMJG’19 disambut oleh 350 pelajar PMM di Dewan Platinum sebagai kemuncak acara sambutan Hari Kemerdekaan.