Sehubungan itu, Projek Yusuff dan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) menganjurkan program Dunia Jurutera bertujuan memberi pendedahan awal tentang bidang kerja tersebut kepada pelajar.

Projek Yusuff merupakan program sukarelawan berbentuk akademik anjuran Kolej Kediaman Tuanku Bahiyah (KKTB), Universiti Malaya, dengan kerjasama Projek Iqra’ selaku Rakan Kerjasama Strategik, Akademi i-Sina, dan juga Yayasan Wilayah Persekutuan.

Melalui Projek Yusuff, mereka membantu pelajar-pelajar yang keciciran dari kawasan Projek Perumahan Rakyat Pantai Ria dengan memberikan bantuan melalui kelas pembelajaran.

Program Dunia Jurutera disertai 18 orang pelajar daripada Projek Yusuff. Mereka dipilih berdasarkan prestasi memberangsangkan dalam pelajaran.

Selain menimbulkan rasa minat dalam bidang kejuruteraan, program itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada mereka mengenai makmal berimpak tinggi yang dilengkapi dengan peralatan kejuruteraan berteknologi terkini.

Lawatan ke Fakulti Kejuruteraan bermula seawal 8.30 pagi diikuti dengan penerangan ringkas daripada Pengarah Program Dunia Jurutera, Alias Abdullah mengenai program yang dijalankan.

Para pelajar diiringi oleh lapan sukarelawan Projek Yusuff yang merupakan pelajar Fakulti Kejuruteraan yang juga mendapat sokongan daripada Dekan Fakulti Kejuruteraan iaitu Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.

Apa yang menarik, para pelajar telah dibawa melawat ke lima makmal yang berlainan bagi merasai sendiri pengalaman sebagai seorang jurutera. Kesemua mereka ternyata teruja apabila berpeluang untuk melihat pengendalian mesin di makmal Advanced Machining Center.

Selain itu mereka juga dapat menyaksikan bagaimana proses mengkaji fiber tisu di makmal Central Advanced Research Enabler Facility (CAREF) serta menyaksikan sendiri bagaimana proses wrist orthosis casting dilakukan di makmal Centre for Prosthetic & Orthotic Engineering.

Aturcara program tidak hanya berakhir dengan lawatan ke makmal, malah para pelajar turut diberikan kuiz yang harus mereka selesaikan sebelum diakhiri sesi perbincangan bagi menjana pemikiran pelajar dan mendapatkan maklumbalas terhadap aktiviti yang dilakukan.

Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada beberapa orang pelajar yang berjaya menjawab soalan dan kuiz yang diberikan serta sesi fotografi dan ramah mesra bersama pihak fakulti kejuruteraan.

Penasihat Program Yusuff, Dr. Khairunnisa Hasikin berkata, walaupun para pelajar Projek Yusuff terdiri dari pada pelajar yang keciciran pelajaran, program ini secara tidak langsung dapat membuka mata mereka mengenai dunia kejuruteraan dan diharap mereka menjadikan profesion jurutera sebagai cita-cita mereka.

“Terima kasih juga kepada Fakulti Kejuruteraan kerana telah memberi peluang untuk pelajar-pelajar menyelami dunia jurutera serta memberikan pengalaman yang menarik kepada mereka.’’ ujarnya.

Projek Yusuff sangat mengalu-alukan sebarang sumbangan berbentuk kewangan atau bukan kewangan bagi memastikan projek ini dapat berjalan dengan lancar.

Untuk maklumat lanjut mengenai Projek Yusuff, boleh layari laman web https://www.facebook.com/ProjekYusuff/ atau emel kepada Mastika Nasrun ([email protected]) atau Dr. Khairunnisa Hasikin ([email protected]).