Oleh itu, Persatuan Pasukan Pegawai Latihan Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak menganjurkan program Challenge Skills Community and Let’s Read di Tapak Lama Kincir Angin, Bandar Hilir, Mei lalu.

Menurut Penolong Rektor UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin, Prof. Madya Dr. Mohd. Rasdi Zaini, program tersebut merupakan acara berimpak tinggi kerana dapat melatih mahasiswa untuk lebih berkeyakinan apabila berkomunikasi dengan pelancong menggunakan bahasa asing.

“Program jangkauan ini dapat membantu mahasiswa untuk lebih dekat dengan komuniti khususnya para pelancong dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik.

“Melalui program ini juga penglibatan mahasiswa bersama komuniti dapat ditingkatkan pada masa akan datang,” katanya.

Program itu juga mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka dan Perpustakaan Awam Negeri Melaka.

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan antaranya Fear Factor Game, Basic Survival Skill Technique, Jom Baca, Jom Wakaf Buku serta permainan rakyat.

Fear Factor Game merupakan permainan menguji keberanian para peserta di mana terdapat tiga cabaran perlu ditempuhi iaitu mengambil belut di dalam baldi dan mengalihkannya ke baldi lain, mencari duit syiling di dalam kotak bertutup mengandungi ulat serta mencari duit syiling lima sen di dalam kotak bertutup yang mengandungi katak.

Meskipun berdepan perasaan takut, rata-rata peserta seronok mengambil bahagian dalam permainan itu. Melalui aktiviti Basic Survival Skill Technique pula peserta didedahkan dengan langkah-langkah asas kelangsungan diri semasa berlaku kemalangan kecil.

Program itu juga merupakan serampang dua mata kerana bukan sahaja berjaya memperkenalkan keunikan permainan tradisional kepada pelancong seperti congkak, teng teng dan cahptay (ala-ala sepak raga), tetapi juga mampu menyemarakkan budaya membaca melalui aktiviti Jom Baca dan Jom Wakaf Buku.

Melalui aktiviti Jom Baca, para pelancong memperuntukkan masa untuk membaca bersama anggota Palapes terlibat bagi menyuburkan budaya membaca.

Menerusi aktiviti Jom Wakaf Buku pula, pelancong diberikan peluang untuk menyumbang buku baharu atau terpakai ke perpustakaan bagi bacaan dan rujukan warga universiti.

Program tersebut ternyata mendapat sambutan dan sokongan menggalakkan daripada pelancong pelbagai negara antaranya dari China, Bangladesh, Indonesia, Australia, Sweden dan United Kingdom.

Program itu diserikan lagi dengan senamrobik oleh pasukan skating dari India dan kelincahan tarian mereka turut disertai oleh pelancong lain.