Program sehari yang dianjurkan pada 29 Jun lalu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Sabak Bernam dan Pejabat Kemas Daerah Sabak Bernam.

 

Penasihat program, Lt. Kol. Dr. Noor Azmi Mohd Zainol berkata, program tersebut dikelolakan oleh kira-kira 32 penuntut semester lima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan UUM Cawangan Kuala Lumpur yang dibantu oleh pensyarah.

Katanya, aktiviti diadakan ini agar pelajar dapat meningkatkan kesedaran dalam pelbagai aspek kehidupan seperti memupuk semangat perpaduan, kejiranan dan gotong-royong.

“Banyak perkara berjaya dikongsi sepanjang berada dalam komuniti dari aspek cara hidup, budaya dan ragam setempat, tahap pendidikan dan sosioekonomi yang boleh membantu pihak kerajaan mendapatkan maklumat tepat.

“Penuntut yang terlibat turut berusaha membantu bergotong-royong membersihkan Tadika Kemas dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Apa yang penting matlamat untuk melahirkan tahap sahsiah dan kepimpinan pelajar yang mampu membawa wadah dan aspirasi untuk membangunkan masyarakat khususnya golongan luar bandar tercapai,”katanya.

Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Fasiah Mohd. Fakeh.

Yang turut hadir Sidang Batu 38 Sabak Bernam, Suratin Jabar dan Pegawai Kemas Daerah Sabak Bernam, Noraini Tusiran.

Sementara itu Pengarah Program berkenaan, Mohd. Noorazlan Fahmie Yaakub berkata, program ini dapat mengeratkan ukhuwah antara pelajar dan komuniti setempat.

“Kerjasama pintar antara universiti dan masyarakat menerusi aktiviti atau program percambahan ilmu perlu diperhebatkan bagi menggalakkan perhubungan baik serta memberi manfaat kepada komuniti itu sendiri,

“Hasil kerjasama semua pihak, program ini berjaya mengumpul dana RM11,000 dan membolehkan program ini berjaya dijalankan,”katanya.