Program yang julung-julung kali diadakan itu merupakan platform untuk beliau menzahirkan aspirasi kerajaan dan menyebarkan inisiatif Kementerian Pendidikan kepada golongan mahasiswa dan pelajar berkenaan.

Menurut Maszlee, program bual bicara petang ini melibatkan penyertaan pelajar dan mahasiswa universiti awam, swasta, politeknik, kolej komuniti dan kolej vokasional di sini.

"Ia merupakan sebahagian usaha penting kementerian untuk mendengar dan mengambil pandangan serta suara mahasiswa bagi membentuk suatu dasar termasuk inisiatif pendidikan.

"Sepanjang sesi itu saya memberi penekanan kepada peserta dan mencabar mereka apa yang akan berlaku kepada golongan pelajar ini dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang sekiranya mereka tidak merebut peluang menyertai pembangunan teknologi moden yang bergerak pantas," katanya ketika ditemui selepas selesai program itu sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi kementerian, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Pengerusi Lembaga Pengarah Utem, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali dan Naib Canselor Utem, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim.

Menurut Maszlee, kementerian juga sedang merangka dan melaksanakan gerak kerja bagi mempersiapkan mahasiswa berhadapan Revolusi Industri 4.0.

"Kita menjangkakan sebanyak 60 peratus bidang pekerjaan akan didominasi oleh automasi rentetan revolusi tersebut. Untuk itu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menjana pemikiran lebih kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar," katanya.

Pada program itu, turut diadakan sesi soal jawab antara Maszlee dan mahasiswa terbabit dan sesi penyerahan sumbangan endowmen oleh Xinyi Glass Co. Ltd. (HK) kepada Utem bernilai RM1 juta. - UTUSAN ONLINE