Program selama tiga hari bertemakan 'Kembara Seluas Padi' itu berjaya mendekatkan pelajar kepada gaya hidup sebenar masyarakat di luar bandar yang kebanyakannya bergantung kepada hasil pertanian.

Melalui program berkenaan, mereka turut didedahkan dengan rutin harian penduduk kampung seperti menoreh getah, bersawah, mencari hasil hutan serta berniaga secara kecil-kecilan.

Pensyarah penasihatnya, Syahidatul Akma Saffian berkata, program yang julung-julung kalinya diadakan itu sekali gus membuka minda mahasiswa untuk merasai kehidupan masyarakat di kampung.

“Mahasiswa berpeluang tinggal bersama keluarga angkat masing-masing, jadi mereka dapat menimba pengalaman baharu.

"Misalnya dari segi corak hubungan kekeluargaan, sumber ekonomi serta makanan kegemaran sesebuah keluarga," katanya.

Majlis penutupan bagi Program Anak Angkat itu baru-baru ini disempurnakan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Sik, Amirah Khairiah Abd Latip.

Sewaktu program berkenaan berlangsung, para mahasiswa turut dibawa melawat Empangan Beris serta Pusat Penyelidikan Padi Organik di Belantek.

Dalam pada itu, seorang peserta, Abdul Faiz Hakimi Ariffin berkata, program tersebut sangat bermanfaat kepada mahasiswa terutamanya bagi mereka yang bukan berasal dari kampung.

Dia yang teruja dengan kehidupan di kampung, berharap hubungannya bersama keluarga angkat selepas ini akan kekal berterusan.

“Saya teruja ketika melawat kebun getah ibu angkat. Sebelum ini saya tidak mengetahui apa pun cara menoreh getah, jadi program ini sangat bermanfaat kepada kami," katanya. - UTUSAN ONLINE