MOHAMAD HASAN

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hal ini kerana masyarakat terma­suk ibu bapa para mahasiswa sendiri telah bertungkus lumus memberi pendidikan kepada mereka sehingga berjaya me­langkah ke menara gading.

Katanya, banyak pengorbanan telah dilakukan oleh masyarakat hingga memboleh­kan generasi muda hari ini mempunyai pelbagai peluang melanjutkan pelajaran hingga ke universiti.

“Dahulu peluang seperti ini sangat terhad tetapi hari ini si­tuasi sudah semakin baik hasil daripada usaha yang dilakukan oleh masyarakat terdahulu termasuk para ibu bapa kita.

“Oleh itu, sudah sampai masanya, mahasiswa ‘memulangkan semula’ jasa itu de­ngan menabur bakti kepada masyarakat terutamanya mereka yang kurang bernasib baik,” katanya ketika melancarkan program Gelombang Baktisiswa Mega 2018 anjuran Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (Permanis) di sebuah hotel di sini hari ini.

Lebih 1,200 ahli persatuan itu yang kini menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara hadir pada majlis tersebut.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Presiden Permanis, Anwar Muttaqin.

Mohamad berkata, program bakti siswa itu juga adalah selaras dengan falsafah kerajaan negeri untuk melihat rakyat menikmati kehidupan yang sejahtera.

“Kita mahu melaksanakan pembangunan di negeri ini tetapi kesejahteraan rakyat mesti bergerak seiring dengannya,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar berkata, pihaknya akan berganding bahu dengan pelajar berkemahiran dalam Kumpulan Akademi Yayasan Negeri Sembilan (YNS) untuk turun padang membantu masyarakat.

Katanya, dengan kemahiran daripada Kumpulan Akademi YNS, program itu akan menawarkan bantuan menjahit pakaian, menyelenggara motosikal dan menaik taraf pendawaian elektrik kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Dengan cara ini, para mahasiswa menimba pengalaman mengenai kehidupan masyarakat yang tidak dapat diraih dalam bilik kuliah.

“Kami juga akan menjadi pemudah cara menyampaikan maklumat tepat dan benar kepada masyarakat dalam jelajah ini," katanya.