WSEP merupakan salah satu program antarabangsa di bawah seliaan badan pengakap dunia iaitu World Organization of the Scout Movement (WOSM) yang menghendaki pengakap-pengakap di seluruh dunia untuk melaksanakan projek memulihara alam sekitar.

Dalam satu majlis di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang baru-baru ini, seramai 25 orang peserta SEAMAP 4.0 dianugerahkan lencana WSEP dan sijil yang disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin.

Mereka terdiri daripada 21 orang ahli Kumpulan Latihan Kelanasiswa Malaysia (KLKM) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dua ahli KLKM Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), seorang pengakap kelana dari Kuala Lumpur dan seorang lagi dari Perak.

SEAMAP 4.0 merupakan program kesedaran marin yang dianjurkan oleh KLKM UMT dengan kerjasama Makmal Berpusat UMT, KLKM UTHM dan Yayasan Coral Malaysia.

Program itu yang diadakan di Pulau Bidong, Terengganu selama tiga hari pada Mei tahun lalu disertai seramai 54 orang peserta.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah KLKM UMT, Noni Noraikhah Md. Yusoff berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan terhadap terumbu batu karang yang mana projek penanaman semula batu karang dilakukan bagi mewujudkan ekosistem seimbang.

Selain itu katanya, program itu juga bertujuan membudayakan graduan dengan aktiviti kemasyarakatan agar dapat melahirkan pemimpin yang berjiwa rakyat dan prihatin kepada persekitaran.

“Melalui projek penanaman semula karang, industri perikanan dapat ditingkatkan hasil daripada pertumbuhan batu karang yang baharu.

“Seterusnya ia dapat menjana ekonomi melalui ekopelancongan yang mana program ini mampu mewujudkan taman-taman batu karang baharu di Pulau Bidong sekali gus ekosistem flora dan fauna laut dapat dipelihara.

“Program ini juga dapat memperkenalkan Pulau Bidong sebagai pulau warisan UMT dan mempromosi fasiliti serta program-program yang boleh membawa kepada penjanaan UMT,” katanya kepada Mega Kampus baru-baru ini.

Menurut Noni Noraikhah lagi, SEAMAP 4.0 bukan sahaja dapat melahirkan graduan yang peka dengan isu alam sekitar, malah turut membina kemahiran sosial mereka melalui penglibatan dalam kumpulan sebaya.

Program itu juga katanya, dapat melatih graduan untuk mempunyai kesedaran terhadap teknologi hijau dan mengimplemen–tasikan ilmu yang telah dipelajari di dalam kelas.

WSEP merupakan salah satu daripada tiga program antarabangsa di bawah WOSM selain Messengers of Peace (MOP) dan Scout of the World Award (SWA).

Bagi memenuhi syarat mendapatkan lencana dan sijil berprestij WSEP, para pengakap diminta untuk melengkapkan lima aktiviti berkaitan alam sekitar dan satu projek yang mampu melindungi alam sekitar daripada dilanda bencana atau pelupusan.