Usaha itu merupakan inisiatif syarikat makanan segera itu dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya sejak 20 tahun lalu dalam membantu pesakit pediatrik.

Sejak ditubuhkan pada 1999 oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC), sebanyak 1,300 ahli keluarga pesakit pediatrik dari seluruh negara telah menginap di rumah tersebut.

Majlis meraikan sambutan ulang tahun ke-20 RMM telah disempurnakan oleh Isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah HCTM, Prof. Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid; wakil Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. A Rahman A. Jamal; Presiden RMHC merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar dan Pengurus Besar RMHC, Nasri Nordin.

Sementara itu Dr. Siti Hasmah berkata, beliau masih teringat ketika merasmikan pembukaan rumah ini 20 tahun lalu.

“Saya amat berbangga melihat komitmen berterusan ditunjukkan oleh RMHC Malaysia dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz dalam usaha membantu keluarga pesakit pediatrik di sini untuk berada dekat dengan anak-anak mereka yang menjalani rawatan.

“Tempoh 20 tahun bukanlah singkat dan saya terharu dengan komitmen dan sokongan semua pihak dalam memastikan kemudahan seperti ini dapat dikekalkan demi membantu kanak-kanak yang berada dalam situasi yang kritikal,” katanya.

RRM di Hospital Canselor Tuanku Muhriz pada peringkat awal pembinaannya melibatkan kos sebanyak RM2 juta hasil sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk orang awam dan syarikat-syarikat korporat.

Sehingga kini RRM telah melalui penaiktarafan sebanyak dua kali iaitu pada 2004 dan 2014 hasil sumbangan Tabung RMHC yang diletakkan di rangkaian restoran McDonald’s di seluruh negara.

Dalam pada itu Azmir berkata, konsep unik home away from home merupakan usaha murni RMHC bagi membolehkan ibu bapa memberi tumpuan sepenuhnya terhadap proses pemulihan anak-anak mereka.

“Kami berharap kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, kerajaan negeri dan mana-mana penyedia perkhidmatan kesihatan khususnya hospital-hospital yang berkepadatan tinggi agar dapat membantu kami untuk memperluaskan program pada masa depan,” katanya.

RRM merupakan program global RMHC yang kini menjangkau 370 buah rumah di seluruh dunia.

RMHC memberi tumpuan kepada empat program utama untuk membantu kanak-kanak di Malaysia iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan Pek Kembali ke Sekolah.

Ia meliputi bidang utama RMHC Malaysia iaitu kesihatan, pendidikan dan kebajikan.