Bagi menyemarakkan sambutan itu, pihak pengurusannya meletakkan Jalur Gemilang gergasi menghiasi bangunan kampus pada Bulan Kemerdekaan ini.

Presiden dan Pengasas Universiti Limkokwing, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing berkata, usaha tersebut bagi menyokong seruan kerajaan dalam menyemarakkan Bulan Kemerdekaan.

Dalam masa sama katanya, ia diharap dapat meniupkan semangat patriotisme dalam kalangan pensyarah dan pelajar yang berbilang bangsa dan agama.

“Usaha ini adalah selari dengan tema Hari Kebangsaan Ke-62 iaitu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih yang wajar diraikan dengan semangat patriotik oleh warga Universiti Limkokwing.

“Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya berbangga dan bersyukur dengan keharmonian negara dan tidak lupa pada Jalur Gemilang kerana ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme,” katanya.

Kok Wing berkata, pemasangan Jalur Gemilang gergasi di luar bangunan kampus Universiti Limkokwing itu dilakukan dengan gabungan idea empat fakulti iaitu Fakulti Fakulti Inovasi Reka Bentuk, Fakulti Multimedia Kreatif, Fakulti Komunikasi dan Media, Fakulti Arkitek dan Hiasan Dalaman.

“Mereka berjaya mengilhamkan idea Jalur Gemilang gergasi di dinding bangunan Universiti Limkokwing yang memerlukan teknik dan kaedah kreativiti tersendiri.

Kerja-kerja pemasangan turut melibatkan kontraktor yang terpaksa turun naik ke bangunan lebih tinggi untuk melihat keseluruhan dan keseimbangan Jalur Gemilang yang dipasang,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Wing berkata, selain sambutan kemerdekaan, Universiti Limkokwing turut mengadakan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

“Kita mahu mengingatkan warga universiti bahawa semangat patriotik amat penting dalam membina perpaduan untuk sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia.

“Kita juga harus mensyukuri nikmat keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang dikecapi negara,” katanya.