Jumlah tersebut dilihat memberi kesan positif kepada sistem pendidikan teknik, sumber manusia serta sektor pekerjaan khususnya dalam bidang kejuruteraan dan perkhidmatan. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa graduan politeknik sangat laris serta memenuhi kehendak industri di negara kita bahkan ada juga yang berkhidmat di luar negara.

Terdapat 36 politeknik diwujudkan sejak 1969 dengan Politeknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh adalah yang pertama ditubuhkan di negara ini selain hampir 92 kolej komuniti.

Sempena sambutan Jubli Emas Politeknik pada April lalu, pelbagai program diadakan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dalam mempromosi dan memperingati sambutan ulang tahun ke-50. Antaranya Golden Ride (GR) dan Walk-Run dengan sasaran 1,000 peserta serentak menyertai acara ini di politeknik masing-masing termasuk di PUO.

Setiausaha GR PolyCC 2019, Norida Mohammad Noor berkata, program ini dijalankan serentak di 10 politeknik di seluruh negara.

“Sasaran peserta adalah dalam kalangan orang awam seperti pelajar sekolah, alumni politeknik, rakan industri, masyarakat setempat dan warga politeknik dan kolej komuniti,” ujarnya.

Program tersebut membantu mempromosi jenama politeknik dan kolej komuniti selaku institusi pendidikan Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) yang berkualiti dan berupaya melahirkan modal insan yang holistik kepada masyarakat setempat.

Program ini juga bersempena pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2018 sekali gus mempromosi kemasukan pelajar untuk sesi pengambilan Jun 2019. Aktiviti tersebut diharap dapat mengeratkan hubungan politeknik dengan masyarakat setempat.

Peserta dari Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang yang juga bekas pensyarah PUO, Khalil Khalid berkata, program seumpama itu mampu menjadi gelombang kecergasan dalam usaha menjadikan masyarakat Malaysia sebuah negara yang membudayakan sukan.

“Saya amat kagum dengan peserta yang begitu ramai, hampir 650 orang. Kalau gelombang ini dapat dikekalkan, hasrat Malaysia untuk mewujudkan rakyat yang lebih cergas, sihat dan bersatu padu akan dapat dicapai,” ujarnya.

Konsisten budayakan sukan 

Walaupun usaha membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia memakan masa, namun jika segala program dijalankan secara konsisten matlamat itu dapat dicapai dengan kerjasama pelbagai pihak. Ini kerana untuk ubah budaya dan gaya hidup memerlukan usaha berterusan.

Selain mencapai matlamat membudayakan sukan dalam kalangan rakyat Malaysia, program seumpama itu dapat membantu mengenal pasti bakat-bakat-bakat baru dalam bidang sukan.

Dalam program GR PolyCC 2019 di Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, pelepasan peserta disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka, Teoh Yee Chern melibatkan kira-kira 650 peserta pelbagai kategori meliputi basikal bukit, lipat, BMX dan semua jenis basikal yang mematuhi undang-undang dan peraturan di jalan raya.

Yang turut hadir Pengarah PUO, Dr. Zairon Mustafa; Timbalan Pengarah Kolej Komuniti Cawangan Lenggong (KKL), Khairil Azahar Mohd. Nor; Presiden Darul Ridzuan Cycling Club (DRCC), Tan Chee Chong dan Pengerusi Khidmat Sosial Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM), Khairol Hisam Hamran.

Kayuhan adalah sejauh 25 kilometer bermula di Dewan Jubli Perak ke Tanjung Rambutan dan melalui Lost World of Tambun dan balik semula ke Dewan Jubli Perak.

“Saya berharap kayuhan berbasikal seperti GR PolyCC dapat diteruskan dan memberi fokus bukan hanya tentang amalan hidup sihat .

“Akativiti ini juga diharap memberi inspirasi kepada rakan dan keluarga untuk bersama-sama sihat melalui penganjuran aktiviti berasaskan komuniti seperti menubuhkan kumpulan berbasikal atau melakukan aktiviti berlari, berjalan dan bersenam secara mingguan,” kata seorang peserta, Khalil Khalid.

Selain program Golden Ride PolyCC 2019, turut dianjurkan Fit Malaysia Golden [email protected] Poly CC 2019 bermula pukul 8.30 pagi selepas pelepasan Golden Ride.

Pelbagai hadiah cabutan bertuah turut disediakan seperti barangan elektrik, barang kemas 916 dan 999 dan basikal.