Ahmad Nawawi Mohd. Amin, 26, dari Kajang memberi­tahu, dia bertekad mengubah nasib keluarga dan hasil usaha kerasnya itu berjaya membanggakan ibu dan bapa apabila diumumkan sebagai penerima anugerah berkenaan .

Anak kedua daripada lima beradik itu merupakan antara 1,662 graduan yang menerima anugerah masing-masing pada sesi pertama majlis konvoke­syen tersebut yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Me­laka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

“Untuk mencapai kejayaan, saya perlu berkorban masa dan tenaga. Kadang-kadang ada rakan menegur saya kerana keluar rumah paling awal dan balik rumah paling lewat dan saya sebenarnya berkorban dan bertekad menyiapkan segala ulang kaji dan menelaah pelajaran.

“Saya juga mencabar diri menyiapkan tugasan paling cepat kerana masa selebihnya digunakan untuk aktif dalam persatuan,” katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen itu yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Naib Canselor Utem, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Tek­nologi Automotif) itu berkata, untuk mengecapi kejayaan da­lam hidup memerlukan pe­ngorbanan yang tinggi termasuk melepaskan keseronokan zaman remaja dan menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran.

Beliau yang menjadikan ba­panya, Mohd. Amin Zakaria, 54, sebagai idola untuk berjaya dan ibunya, Mas Aida Muknadi, 50, seorang suri rumah menga­kui tidak pernah kenal erti penat untuk mencapai kejayaan termasuk bergiat aktif dalam persatuan dan pernah menjadi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Utem sesi 2015/16.

Ahmad Nawawi bercita-cita menjadi seorang pensyarah dan bakal menyambung pelajaran di peringkat ijazah Sarjana dalam bidang Mekanikal Pembuatan di universiti itu.

Sementara itu, Amyrul A­zuan Mohd. Bahar, 26, dari Skudai, Johor, menerima anugerah Hadiah Canselor atas kejayaan mendapatkan ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada majlis itu.

Anak kedua daripada empat beradik itu mengambil jurusan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan menerima tawaran melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) ketika menyambung pengajian di pe­ringkat sarjana di Utem.

“Alhamdulillah berkat usaha yang tidak pernah kenal erti jemu, saya berjaya menamatkan kajian untuk lulus di peringkat PhD,” katanya yang sudah ditawarkan pekerjaan dengan sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang.