Bermula dengan pengasasnya di Malaysia, DATIN KHATIJAH SULIEMAN sebagai Presiden Majlis Pemulihan Malaysia (MCR), badan itu bergerak dalam melaksanakan fungsinya.

Wartawan Mega Kampus, MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK menemu bual Khatijah dalam mendapatkan pandangannya berhubung peranan MCR dan misi persiapan  Pertandingan Abilympics Antarabangsa ke-10 yang akan diadakan di Moscow, Rusia pada September 2020.

UTUSAN: Bila Pertandingan Abilympics Antarabangsa diperkenalkan?

Khatijah: Pertandingan Abilympics Antarabangsa kali pertama diadakan di Tokyo, Jepun pada 1981 untuk meraikan Tahun Antarabangsa OKU oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Hasil kejayaan penganjuran itu, pada 1985 ia diadakan pula di Colombia dan beberapa pihak mencadangkan agar penubuhan sebuah badan antarabangsa bagi mempromosikan International Abilympics dan menganjurkan pertandingan itu secara tetap.

Ini membawa kepada penubuhan Persekutuan Abilympics Antarabangsa (IAF) untuk tujuan tersebut.

Semenjak itu, Pertandingan Abilympics Antarabangsa dianjurkan oleh organisasi yang dipilih oleh IAF dengan sokongan daripada Badan Pemulihan Antarabangsa.

Apakah objektif penganjuran Abilympics?

Pertamanya ialah usaha meningkatkan kemahuan OKU dalam kemahiran vokasional. MCR memainkan peranan membantu mengemudi perubahan dan pemahaman awam keupayaan vokasional OKU dalam aktiviti sosio-ekonomi. Peranan MCR diperluas lagi melalui pencarian bakat dan potensi OKU dalam masyarakat dengan tumpuan khusus menerokai peluang pekerjaan.

Selain itu, badan ini juga mempromosi persahabatan dan perhubungan antarabangsa dalam kalangan peserta selain mempromosikan peluang-peluang pekerjaan khususnya kepada OKU sama ada yang masih menuntut di universiti atau sudah tamat pengajian.

Siapakah yang terlibat dalam MCR?

Sebanyak 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) peringkat kebangsaan dan negeri menjadi ahli majlis. Antara ahli gabungan MCR ialah Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MDF) dan Persatuan Cerebral Palsy Johor.

Selain itu Persatuan Pemulihan Orang-orang Cacat Selangor dan Wilayah Persekutuan, Persatuan Orang-orang Cacat Anggota Malaysia dan Kanak-kanak Spastik Persatuan Selangor & Wilayah Persekutuan turut serta.

Di peringkat antarabangsa, MCR merupakan ahli gabungan Pusat Pemulihan Antarabangsa, Asia & Pacific Disability Forum, IAF, VSA dan Badan Kebajikan dan Pertubuhan Antarabangsa.

Visi MCR ialah menyasarkan penyertaan penuh dan penyamaan peluang OKU supaya mereka dapat tinggal dan bekerja bersama dengan masyarakat awam dan mendapat akses kepada segala kemudahan dan fasiliti komuniti.

Bagaimana persiapan Pertandingan Abilympics Antarabangsa ke-10 yang akan diadakan di Moscow Rusia pada September 2020?

MCR akan menghantar 15 peserta OKU ke Moscow untuk menyertai kejohanan ini.

Peserta daripada kalangan yang mengalami pelbagai kecacatan akan bersaing bersama peserta dari 35 negara dalam 15 daripada 30 acara dipertandingkan termasuk memasak, gubahan bunga, pemasangan komputer, fotografi dan menjahit pakaian.

MCR menjalinkan kerjasama dengan pelbagai institut kemahiran antaranya Kolej Komuniti Selayang dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Floral Design Academy, Universiti Malaya, dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia bagi mengasah bakat kemahiran peserta yang dipilih ke kejohanan itu.

Kejohanan itu membuktikan pelajar dalam golongan OKU mampu menempa kejayaan dalam pelbagai bidang sekali gus berpeluang mengukir nama negara di peringkat antarabangsa.

MCR akan berusaha lebih keras dengan membuat perancangan teratur bagi memastikan negara memenangi banyak pingat dalam pertandingan itu pada masa hadapan.

Satu majlis minum petang telah diadakan pada 23 Jun lalu di Hotel Seri Pacific juga bertujuan mengutip dana termasuk bagi menampung perjalanan 15 peserta sepanjang kejohanan itu.

Malaysia menyertai kejohanan itu sejak 1995 di Australia dengan pencapaian terbaik satu emas, satu perak dan dua gangsa di Bordeaux, Perancis pada 2016.

Apakah harapan untuk Abilympics?

Abilympics menggalakkan golongan OKU membangunkan kemahiran pekerjaan, meningkatkan kesedaran awam terhadap potensi pekerjaan.

Dengan itu, Abilympics juga bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi adalah pemangkin memperkasakan golongan OKU agar menjadi warga yang produktif.

MCR telah memperkenalkan 15 kategori pertandingan kemahiran melibatkan kategori yang dipertandingkan seperti gubahan bunga, lukisan, silk hand painting, jahitan pakaian – asas, jahitan pakaian – lanjutan, sulaman, masakan, menghias kek, perkhidmatan restoran, fotografi, pemprosesan data, Word Processing Kemahiran, creating webpages dan asas komputer.

MCR menantikan kehadiran rakan-rakan baharu dalam menjayakan program Abilympics dari kalangan universiti awam dan swasta termasuk pertubuhan kerajaan yang mengendalikan OKU pada masa depan.

Kami juga memerlukan bantuan sumbangan orang ramai melalui akaun: Majlis Pemulihan Malaysia (514598124905-Maybank).