Menerusi dua operasi tersebut, IPD Iskandar Puteri yang dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), dan balai-balai polis sekitar daerah ini melakukan serbuan di 80 premis.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, semua tangkapan tersebut membabitkan umur dalam lingkungan 16 hingga 40 tahun melibatkan warganegara asing dan tempatan.

“Semakan rekod jenayah ke atas semua tangkapan mendapati mereka tiada rekod kesalahan jenayah. Dalam serbuan itu pihak polis merampas pelbagai peralatan hiburan dan wang tunai RM76,984 dan SGD420.

“Di samping itu pihak polis juga berjaya menyelamatkan 47 wanita warganegara asing kerana disyaki menjadi mangsa eksplotasi seks,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, menerusi Op Noda, sebanyak 39 serbuan dilakukan dan menangkap 37 wanita Vietnam, 35 wanita Thailand, 24 wanita Indonesia, lapan wanita China dan dua wanita Laos serta tiga lelaki Indonesia termasuk 35 lelaki dan wanita tempatan.

Menerusi serbuan tersebut ujarnya, rampasan dilakukkan antaranya melibatkan 184 kondom, 35 botol minyak, 19 jadual pekerja, dua resit perniagaan, tujuh buku, 15 tuala, 15 telefon bimbit, 10 kunci alat penggera dan wang tunai RM15,791.

Sementara menerusi Op Hibur pula katanya, sebanyak 37 serbuan dilakukan dengan tangkapan melibatkan 32 wanita Vietnam, 21 wanita Thailand, sembilan lelaki India, masing-masing empat wanita Indonesia dan China serta 29 lelaki dan wanita tempatan.

Antara barang yang dirampas ujarnya, sebuah televisyen, 10 kompuer riba, 15 monitor, 17 alat speaker, 43 mikrofon, 39 resit dan wang tunai RM1,387 dan RM950. - UTUSAN ONLINE