Pengarah Pusat Perumahan Pelajar (PPP) USIM , Ahmad Kamal Mustafa berkata, ia merupakan acara wajib pada awal Ramadan sejak tiga tahun lalu sebagai tanda kesyukuran dan berkongsi rezeki dengan para pelajar.

“Apa yang menarik, pada setiap tahun bubur lambuk dimasak sendiri oleh staf di PPP, pengurusan kolej kediaman dan Felo Penghuni dengan menggunakan enam periuk di pekarangan Kolej Kediaman 1.

“Bubur lambuk mula diedarkan pada pukul 2 petang dan habis diagihkan kepada semua pelajar kolej kediaman dan juga pelajar luar kampus USIM,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof. Madya Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Jailani berkata, program itu dapat memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan kakitangan serta pelajar di setiap kolej kediaman.

“Saya melihat semangat gotong-royong dan kerjasama dalam memasak bubur lambuk ini dapat mengeratkan silaturahim selain memperbanyakkan sedekah. Selain itu, pelajar antarabangsa dapat merasai keenakan bubur lambuk yang menjadi tradisi setiap kali Ramadan,” katanya.

Terdapat lima buah kolej kediaman di dalam dan luar USIM yang menempatkan kira-kira 5,500 pelajar. - UTUSAN ONLINE