Lebih mesra disapa sebagai ustaz Hisham al-Jari, 37, anak jati Merlimau, Melaka ini telah berjaya memenangi sebanyak 11 pertandingan inovasi peringkat tempatan dan antarabangsa dengan mengetengahkan kaedah pembelajaran Pendidikan Islam secara mudah, ringkas dan senang difahami.

Sepanjang pertemuan santai itu, Norhisham memberitahu gelaran al-Jari diberikan oleh orang ramai terutamanya oleh anak muridnya kerana telah berjaya memperkenalkan kaedah mudah bagi mempelajari hukum tajwid yang diinspirasikan daripada lima jari tangan.

Berkongsi lebih lanjut inovasi ciptaannya yang dikenali sebagai Jari Tajwid atau Amazing Tajwid, beliau berkata, kaedah baharu mempelajari ilmu tajwid itu tercetus selepas melihat kesukaran anak muridnya mempelajari dan mengingati ilmu tersebut.

“Berdasarkan kajian saya dengan guru agama lain mereka turut mengakui perkara sama. Hari ini mengajar minggu depan bila ditanya semula kepada anak murid, mereka akan lupa. Disebabkan itu, saya telah membuat penyelidikan bagaimana hendak hasilkan pembelajaran tajwid dalam bentuk mudah dan sesuai dengan pendekatan zaman sekarang memandangkan setiap orang termasuk murid sekolah minat pada benda laju dan teknologi.

“Hasil inovasi ini tercetus secara tiba-tiba ketika saya melakukan tawaf sunat semasa menunaikan umrah tiga tahun lalu. Waktu itu saya mendapat ilham bahawa lima jari dan ruas jari tangan boleh disusun huruf asas tajwid yang saya gelar huruf VIP iaitu lam, mim dan nun serta hukum mad dan waqaf. Tanpa berlengah saya terus menyalin semula huruf-huruf ini di atas sekeping kertas sebelum membuat prototaip ilustrasi lima jari dan sarung tangan yang mengandungi hukum tajwid dan disesuaikan dengan bulatan huruf yang menarik serta berwarna-warni,” katanya, baru-baru ini.

Bercerita lanjut, katanya, disebabkan sukar untuk menulis di atas sarung tangan, beliau telah memindahkan inovasi tersebut di atas kad secara grafik bagi memudahkan orang ramai mempelajarinya tanpa perlu menghafal atau menyelak buku tajwid yang tebal.

Bagi memberi nilai tambah, buku Jari Tajwid ini disertakan sekali dengan ‘kod QR’ yang boleh disinergikan dengan menggunakan telefon pintar dan mengeluarkan audio penerangan, audio bacaan, video, format PDF, laman web dan kuiz interaktif.

“Inovasi ini kemudiannya saya pertandingkan sempena Hari Guru Peringkat Melaka dan Kebangsaan 2016. Alhamdulillah inovasi ini berjaya menjadi johan. Kemudian inovasi saya ini pertandingkan pula di peringkat antarabangsa dan berjaya memperoleh Anugerah Inovasi Ibnu Sina 2017 dan Pingat Emas i-Cipta Antarabangsa pada tahun sama.

“Bagi saya pertandingan paling sukar ialah di bawah Kementerian Pendidikan kerana setiap produk dinilai berdasarkan penulisan, kos dan bahan serta impaknya. Untuk Jari Tajwid ini impaknya boleh menyelesaikan masalah belajar tajwid untuk murid tahun tiga hingga enam. Dalam tempoh satu jam sahaja mereka boleh ikuti kaedah ini,” ujar siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Menyentuh lebih lanjut, Norhisham berkata, selain mendapat permintaan meluas dalam negara, produk inovasi tersebut juga telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Indonesia, Turki, Amerika Syarikat (AS), Australia dan Arab Saudi dengan menggunakan bahasa Inggeris dan Arab.

Ujarnya, pada bulan April ini, beliau sekali lagi akan diundang ke AS untuk menunjukkan cara penggunaan Jari Tajwid dan lebih istimewa dalam kunjungan kali kedua ini sebanyak 22,500 peserta daripada pelbagai latar belakang dan bangsa akan turut serta.

Berkongsi mengenai cita-citanya, Norhisham berhasrat mengembangkan lagi produk tersebut melalui syarikat yang ditubuhnya, Genius Interfingers Global baru-baru ini.

“Ketika mahu mengeluarkan produk ini saya tidak memperoleh sebarang dana daripada mana-mana pihak, Selepas menang anugerah pun masih tiada dana atau geran yang diberikan. Jadi untuk permulaan saya cuba dapatkan kepercayaan daripada pelabur.

“Hasil pelaburan beberapa pelabur ini maka tertubuhlah syarikat ini. Untuk jangka masa panjang saya juga bercita-cita untuk menjadikan syarikat ini sebagai payung kepada pereka inovasi lain kerana saya faham untuk mendapatkan dana bukannya mudah malah kalau menerima royalti sekali pun tidaklah banyak iaitu antara tujuh hingga lapan peratus sahaja.

“Dengan syarikat ini kita harap lebih banyak inovasi terkini dapat dikeluarkan untuk manfaat semua pihak,” katanya yang berhasrat melihat inovasi tersebut disertakan dalam al-Quran sebagai rujukan belajar tajwid.