Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan

Naib Canselor Unisza, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, paling penting penggabungan itu mampu memberi manfaat kepada kedua-dua universiti berkenaan terutama dari segi kebajikan seluruh kakitangannya.

Menurutnya, ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kos malahan menyedia serta membuka lebih banyak peluang kejayaan yang bakal dinikmati semua warga Unisza dan juga UMT di sebalik penggabungan itu.

"Bagaimanapun, cadangan itu bukan hanya mengenai penjimatan belanjawan atau kos semata tetapi kebajikan warga serta kakitangan kedua-dua universiti itu.

"Bercakap soal ini, Kabinet telah buat keputusan mengenainya (gabung UMT dan Unisza) dan Kementerian Pendidikan telah keluarkan kenyataan mengenainya hari ini," katanya hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa penggabungan dua universiti itu bukan suatu isu baharu sebaliknya idea tersebut telah dicetuskan kerajaan terdahulu sebelum diteruskan kerajaan sekarang.

"Kalau anda tanya pendapat saya sebagai Naib Canselor (Unisza), saya mempunyai pendapat yang sama bahawa penggabungan ini akan memanfaatkan kedua-dua universiti ini.

"Dengan bergabung, di segi tenaga manusia akan meningkat. Sebagai satu analogi mudah, ia seperti dua batalion tentera dengan dua orang komandernya dan sekarang (penggabungan), ia akan jadi satu briged dengan seorang brigedier jeneral.

"Bagi universiti, ia lebih dari itu. Seorang profesor adalah sama atau lebih berkuasa daripada seorang jeneral. Anda boleh lihat selepas penggabungan ini berlaku, sepatutnya ada 30 profesor di sebuah universiti tapi sekarang akan ada sekurang-kurangnya 60 profesor di sebuah universiti," ujarnya. - UTUSAN ONLINE