HISHAMUDDIN ABDUL KARIM

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sepanjang kedua-dua universiti itu beroperasi, terlalu banyak manfaat yang diperolehi masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan yang dijalankan.

"Bayangkan jika penggabungan ini berlaku, pengurangan yang ketara bakal berlaku pada aktiviti berorientasikan penduduk setempat.

"Rakyat, komuniti dan negeri Terengganu yang paling akan terkesan dengan penggabungan ini. Jangan hanya kerana beralasankan penjimatan kewangan, keprihatinan kepada rakyat diabaikan," katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Beliau mengulas keputusan Kabinet yang telah bersetuju secara prinsip dengan penggabungan Unisza dan UMT.

Penggabungan itu dilihat sebagai salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi terutamanya dalam memantapkan keupayaan universiti untuk mempertingkat kedudukan sosioekonomi.

Menurut Hishamuddin, langkah penggabungan itu juga akan menghilangkan identiti Unisza yang memfokuskan kepada bidang pengajian Islam manakala UMT sebagai peneraju utama ilmu kelautan dengan kedua-duanya mempunyai nilai warisan dan lambang keilmuan kepada negeri ini.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan agar langkah penggabungan itu tidak berlaku, sebaliknya ia dikekalkan mengikut acuan disiplin masing-masing.

"Lainlah kalau di universiti ini tidak mendapat sambutan dan tiada pelajar yang ingin menyambung pengajian di sini. Sedangkan, di persekitaran ini muncul warga asing yang ramai untuk melanjutkan pelajaran di kedua-dua universiti.

"Malah, Terengganu sebenarnya masih memerlukan universiti baharu untuk bertapak di mana-mana lokasi di sebalik keluasan negeri ini bagi memperkukuhkan elemen pendidikan dan membantu usaha mengembangkan ekonomi rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE