Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu bertujuan membolehkan semua pihak termasuk pemegang taruh, kakitangan dan juga pelajar di kedua-dua institusi berkenaan mendapat maklumat jelas mengenai matlamat sebenar dan juga keperluan ke arah penggabungan tersebut.

Dalam masa sama, katanya, kaedah tersebut mampu membuka ruang lebih luas buat mereka terlibat dalam mencari jalan penyelesaian terbaik

"Menjadi hak kerajaan Pusat yang bertanggungjawab terhadap sesebuah universiti untuk menggabungkan mahu pun memecahkan institusi itu, namun mereka harus belajar daripada isu-isu penggabungan di tempat lain di luar negara.

"Kriteria terpenting pada saya ialah keputusan itu perlu diperjelaskan untuk mengelak kekeliruan ramai di samping apakah model penggabungan tersebut sama ada untuk menyelamatkan sesebuah universiti atau bagi tujuan strategik, mengenal pasti alternatif lain dan kesannya dari segi perundangan, kos, sosial, nasib kakitangan serta institusi berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi 'Walk Through Bengkel projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Promenade' di Hotel Primula di sini hari ini.

Semalam, Kabinet memutuskan telah bersetuju secara prinsip dengan penggabungan Unisza dan UMT sebagai salah satu transformasi penyampaian pendidikan tinggi terutama dalam memantapkan keupayaan universiti untuk mempertingkat kedudukan sosioekonomi.

Ahmad Samsuri meminta kerajaan Pusat agar turut melibatkan dan berbincang dengan kerajaan negeri sebelum apa-apa tindakan dibuat dalam isu penggabungan Unisza dan UMT itu kerana inisiatif tersebut tentunya memberi kesan kepada sektor pendidikan di Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, penggabungan kedua-dua universiti itu secara luarannya dilihat tidak akan merencatkan usaha Terengganu untuk muncul sebagai negeri anjung ilmu seperti yang dihasratkan.

Sementara itu, beliau memberitahu, tidak timbul persoalan untuk kerajaan negeri mengambil alih Unisza yang dahulunya merupakan institusi pendidikan miliknya sebelum diserahkan kepada kerajaan Pusat pada 2005.

"Dalam Manifesto Pas Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita menyatakan hasrat untuk memiliki institusi pengajian tinggi agama milik negeri menggantikan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) iaitu dengan mewujudkan universiti baharu dan bukan mengambil alih Unisza atau apa-apa universiti bawah kerajaan Pusat ketika ini," katanya. - UTUSAN ONLINE