Ahli Dewan Negara, Datuk Husam Musa berkata, status negara maju akan lebih cepat dicapai sekiranya metodologi, kurikulum dan kaedah pengajaran dapat dilakukan dengan cara yang lebih menyenangkan serta menggembirakan di kesemua Tabika Kemas tersebut.

“Saya sudah sampaikan cadangan itu kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dalam satu pertemuan. Perkara itu masih dalam peringkat kajian sekiranya perlu kita boleh mewujudkan beberapa kelas dan modul sebagai permulaan supaya boleh melihat keberkesanan dengan teknik baharu sekali gus menjadi contoh kepada tabika kemas lain.

“Tujuan kita menjenamakan semula subjek Sains, Matematik dan bahasa Inggeris ke dalam pengajaran prasekolah adalah untuk menjadikan rakyat kita lebih maju dan cepat menguasai bidang sains dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Mini Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Pergerakan STEM Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Noraini Idris dan pengetua sekolah tersebut, Raja Anoro Raja Kob.

Mengulas lanjut, Husam berkata, negeri ini juga perlu menjadi sebuah institusi cemerlang dalam bidang sains berteraskan Islam yang sangat bertepatan dengan majoriti penduduk Islam di negeri ini.

“Islam sangat menekankan pembelajaran sains dan matematik kerana kalau kita hendak sembahyang, puasa, zakat dan harta pusaka juga perlu ada matematiknya.

“Justeru, kita berharap agar lebih ramai pelajar yang mahir dalam bidang ini dapat dihasilkan dan minat mereka hendaklah dipupuk sejak awal lagi,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE