Naib Presiden Gagasan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, ini kerana Dong Zong dan Jiao Zong sentiasa senada dalam agenda perjuangan mereka selama ini sehingga seringkali mencetuskan sentimen yang menimbulkan 'kegelisahan' kalangan orang Melayu.

Pada masa sama, beliau tetap menyokong serta mempertahankan pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang secara terangan melabelkan Dong Zong sebagai rasis.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu termasuk parti politik supaya bersatu dalam isu terbabit.

" Gagasan menyokong dan mempertahankan kenyataan Tun M yang menyatakan Dong Zong rasis dan kita menyeru semua NGO Melayu termasuk parti politik agar bersatu dalam isu tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan banyak pihak agar Dong Zong diharamkan ekoran pendiriannya yang menentang keras usaha kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan tulisan jawi dan seni khat di sekolah-sekolah.

Malah pendirian pertubuhan itu yang ekstrim turut mengundang reaksi Dr. Mahathir dengan menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana sikapnya yang tidak pernah menyukai Melayu.

Syed Anuar seterusnya menarik perhatian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga didesak supaya menjalankan siasatan menyeluruh terutama berkaitan modus operandi Dong Zong termasuk sumber dananya.

Malah tegas beliau, kementerian itu juga perlu membatalkan penubuhan Dong Zong, tidak terkecuali Jiao Zong sekiranya kewujudannya melanggar Akta Pertubuhan 1966 serta akta lain yang berkaitan. - UTUSAN ONLINE