Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, sebahagian besar yang tidak berdaftar itu beroperasi di daerah Seremban.

"Antara alasan pengusaha taska dan pusat jagaan terbabit tidak mendaftar adalah leceh untuk mereka pergi berurusan dan mendaftar.

"Setakat Julai lalu, terdapat 157 taska dan 109 pusat jagaan telah berdaftar di Negeri Sembilan di bawah Akta Taska 1984 serta Akta Pusat Jagaan 1993.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih berusaha gigih menjalankan program pemutihan secara agresif mulai tahun ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jom Daftar Taska dan Pusat Jagaan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JKM negeri, Mohamad Hapil.

Menurut Nicole, pengusaha taska yang tidak berdaftar boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, bagi kesalahan kali kedua, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Taska 1984.

Katanya, pengusaha pusat jagaan secara tidak sah pula boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

Tambahnya, bagi kesalahan berterusan pengusaha boleh didenda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari kesalahan tersebut.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau menggesa jabatan kerajaan dan swasta menubuhkan taska di tempat kerja bagi memenuhi keperluan kakitangan yang mempunyai anak di bawah umur empat tahun.

"Dengan mewujudkan taska di tempat kerja dapat menjamin kebajikan dan keharmonian kakitangan dan anak-anak mereka. Ini akan dapat mewujudkan keseimbangan antara kerja dan hidup mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE