Pengurus Besar Bahagian Khidmat Pelanggan Tabung Haji, Datin Normimy Mohamed Noor berkata, program tersebut merupakan inisiatif Tabung Haji dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu pelajar agar lebih bersedia menghadapi peperiksaan.

“Seminar ini dilihat dapat mendedahkan pelajar tentang teknik-teknik berkesan dalam menjawab soalan peperiksaan dan bersedia untuk menghadapi SPM.

“Besar harapan kami agar semua pelajar yang terpilih ini dapat memberi tumpuan sepenuhnya serta setiap panduan yang dikongsi boleh dimanfaatkan khususnya ketika peperiksaan kelak,” katanya kepada Utusan Online selepas merasmikan seminar itu di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Yaakob Zakaria; Pengurus Kewangan Tabung Haji Wilayah Persekutuan, Halina Sofia Abd. Wahab dan Pengarah Urusan Berkat Minda Resources, Mahmod Mat Ali. - UTUSAN ONLINE