PUTRAJAYA: Setiap murid diharap dapat memakai lencana Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan amanah kerana mereka merupakan duta kecil kepada negara dan pencorak kepada masa depan negara.
Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, lencana kecil ini bukan sekadar hiasan di dada, tetapi lambang besar sebuah jati diri kebangsaan kerana ia membawa makna kasih, kesetiaan dan tanggungjawab kita sebagai warganegara.
“Hari ini saya selaku Pengerusi Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya diamanahkan menggalas tugas melancarkan Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan.
“Seperti yang semua maklumat matlamat kerajaan memperkenalkan pemakaian lencana Jalur Gemilang bertujuan menjadikannya sebagai satu lambang kebanggaan, kesatuan dan semangat patriotism,” kata Hisamudin.
Terdahulu, Hisamudin menyempurnakan simbolik pemakaian lencana Jalur Gemilang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 18 (1) yang turut dihadiri Pengetua sekolah berkenaan, Asmara Diana Abdullah, Naib Pengerusi PIBG, Datuk Sapian Sanusi dan wakil Jabatyan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Nariza Nayan.
Menurut Hisamudin, para pelajar seharusnya sedar bahawa pemakaian lencana ini juga selaras dengan hasrat murni dalam gagasan Malaysia Madani untuk melahirkan sebuah negara yang dibina atas nilai kemanusiaan, kemajuan dan kesejahteraan.-UTUSAN