Belia perlu seiring kepesatan teknologi untuk kekal relevan - Utusan Malaysia

Belia perlu seiring kepesatan teknologi untuk kekal relevan

Sebahagian peserta menyertai Forum Maya Peneraju Profesional Finance, Banking and Investment (FBI) 2021 baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dunia menyaksikan kepesatan teknologi yang tiada batasan. Malah banyak robot dicipta dengan fungsi berupaya menggantikan peranan manusia dalam bidang pekerjaan.

World Economic Forum (WEF), melaporkan automasi dan pembahagian kerja baharu antara manusia dan mesin akan mengganggu 85 juta pekerjaan di seluruh dunia.

Ia meliputi sektor perniagaan sederhana dan besar melibatkan 15 industri dan 26 negara menjelang tahun 2025.

Oleh itu, Yayasan Peneraju menggesa para penerima faedahnya untuk segera menguasai pengetahuan dan kemahiran sesuai ketika teknologi pintar sedang mengambil alih setiap aspek kehidupan manusia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muzzammil Ismail berkata pengukuhan modal insan dalam kalangan belia perlu dilakukan agar menjadi lebih cekap dan berpengetahuan.

Mohd Muzzammil Ismail.

Katanya, pada masa sekarang, kemahiran teknologi menjadi sebahagian daripada keperluan kerja dan ia berlaku di seluruh dunia.

“Bumiputera yang mempunyai kemahiran khusus dalam bidang teknologi mempunyai kelebihan mendapat pekerjaan terutama dalam masa sukar kerana kebanyakan industri mempercepat penggunaan digitalisasi dalam operasi mereka.

BERSEDIA
“Para penerima manfaat kami harus bersiap sedia menerima hakikat di mana terdapat pekerjaan yang mungkin tidak lagi diperlukan pada masa hadapan. Adalah penting untuk mereka terus bangkit dan mengasah semula kemahiran bagi menangani perubahan tersebut,” katanya pada Forum Maya Peneraju Profesional Finance, Banking and Investment (FBI) 2021 baru-baru ini.

Forum dianjurkan bersama Yayasan Peneraju dan Efficient Frontier Consulting (EFC) itu dihadiri lebih 400 peserta termasuk para penerima manfaat Yayasan Peneraju sedia ada dan baharu dari program Peneraju Profesional Chartered Financial Analyst (CFA), program Peneraju Profesional Financial Risk Managers (FRM), dan empat program baharu iaitu Pengamal dan Penasihat Syariah Bertauliah.

Sementara itu, laporan WEF juga mendedahkan lebih daripada 50 peratus majikan yang dikaji cenderung mempercepat penggunaan automasi untuk mengambil alih beberapa tugas di syarikat mereka.

KEMAJUAN TEKNOLOGI
Manakala 43 peratus lagi cenderung untuk memberhentikan pekerja di seluruh dunia disebabkan kemajuan teknologi.
pandemik COVID-19 telah mempercepat penerapan teknologi baharu ketika kebanyakkan organisasi sedang berusaha mengurangkan perbelanjaan dan menyesuaikan diri dengan cara kerja baharu, sehingga memberikan ancaman berkali ganda kepada pekerja, sama ada disebabkan oleh keputusan mempercepatkan penggunaan automasi atau pemberhentian operasi disebabkan kemelesetan akibat daripada pandemik Covid-19.

“Sepertimana sekarang, dengan peningkatan bilangan penganggur dalam kalangan graduan dari tahun ke tahun yang di dorong oleh keperluan majikan yang telah berubah dan penggunaan automasi yang telah mengambil alih tugas manusia, tiada yang dapat memastikan apa yang akan terjadi kepada generasi milenial dan graduan pada masa hadapan,” katanya.

Justeru modal insan dalam kalangan belia perlu dilatih dan ditambah baik agar mereka menjadi lebih cekap dan berpengetahuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN