Aku cemburu dengan kematiannya - Utusan Malaysia

Aku cemburu dengan kematiannya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH yang ingin saya kongsikan pada keluaran kali ini bukanlah cerita seram, namun ia lebih berkisar kepada renungan dan iktibar tentang satu kejadian yang berlaku sebelum ini.
Sesungguhnya apa yang berlaku adalah kuasa Allah SWT, namun sebagai hamba-Nya haruslah kita menuruti setiap perintah dan percaya dengan setiap ketentuan-Nya. Kita dituntut menjadikan kehidupan di dunia ini sebagai modal untuk menuai hasilnya di akhirat kelak.
Begini kisah yang ingin saya ceritakan… Ketika mata menyaksikan berita kemalangan jalan raya di kaca televisyen tadi, saya terkedu seketika. Lantas fikiran saya terus teringatkan arwah sahabat saya, Norman. Arwah juga meninggal dunia dengan cara sama iaitu terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Kejadian yang meragut nyawa arwah itu berlaku pada hari jumaat kira-kira 15 tahun lalu. Saya dengan arwah boleh dikatakan rapat juga. Selain belajar dalam tingkatan sama, kami juga tinggal berdekatan. Pendek kata, hubungan kami agak akrab memandangkan sentiasa bersama.
Arwah meninggal dunia ketika kami sedang bercuti menunggu keputusan SPM. Saya diberitahu arwah meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta.
Saya terkedu. Tak sangka arwah ‘pergi’ secepat itu. Saya dan rakan-rakan bergegas pergi ke rumah arwah pada malam itu untuk ziarah serta ingin tahu apa sebenar yang berlaku.
Menurut cerita Sudin, saksi kejadian, sebelum kejadian arwah baru sahaja selesai menjual hasil sawit di ladangnya. Namun dalam perjalanan pulang dia tidak sempat mengelak sebuah kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang sebelum melanggarnya.
Sudin yang kebetulan menunggang motosikal di belakang arwah tergamam melihat kemalangan itu sebelum menghubungi ambulan.
Tetapi apa yang ingin saya kongsikan kepada pembaca bukanlah kisah kematian arwah atau tentang kemalangan yang meragut nyawanya, tetapi mengenai sikap arwah sebelum dijemput Ilahi. Arwah seakan tahu bila ajalnya akan sampai. Memang banyak perubahannya. Bila saya fikirkan semula barulah saya faham setiap maksud kata-kata dan perbuatannya sebelum ini.
Ketika di usia remajanya itu, arwah cukup lasak dan berani. Walaupun baru berusia belasan tahun namun dia sama sekali tidak pernah gentar dan takut dengan sesiapa, terutamanya dalam bab beradu tenaga dan kekuatan.
Pernah sekali, dia mencabar ketua kampung untuk bertumbuk kerana menegurnya menunggang motosikal dengan laju di kawasan kampung.
“Tak payah bisinglah Tok! Kalau tak puas hati mari sini cakap depan-depan. Kalau nak bertumbuk pun boleh, anytime!” katanya merengus sambil mengepal-ngepal penumbuk.
Itu baru satu kisah dia ajak Tok Ketua bertumbuk, kalau bersama rakan sebaya pula usah ceritalah. Pantang ada yang dia tak puas hati habis semua dimakinya. Kawan-kawan pun sudah masak dengan perangainya sehinggakan ada yang menjauhkan diri daripadanya.
Itu bab bergaduh, jika bab panjang tangan juga dia memang champion. Jika di kampung ada hasil tanaman hilang atau ‘kena kebas’ memang dialah yang punya angkara. Beberapa kali juga orang kampung dapat tangkap ketika dia sedang mencuri sawit, namun disebabkan mereka kasihan dengan ayah dan ibunya yang sudah uzur terus mereka batalkan hasrat lapor kepada polis, tetapi sikapnya tetap tidak berubah jauh sekali menyesal.
Pendek kata, ada sahaja perbuatannya yang jelik serta mengundang caci maki orang kampung. Ibu dan ayahnya sudah puas menasihat tetapi ibarat mencurah air ke daun keladi, masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.
Namun sebulan sebelum ajalnya, Norman tiba-tiba berubah sikap. Setiap hari dia akan datang ke surau berhampiran rumahnya untuk menunaikan solat fardhu lima waktu. Pada mulanya, ramai yang tidak percaya dan berasa was-was dengan tingkah lakunya. Fikir mereka mungkin itu hanya muslihat Norman untuk rancangan jahatnya, namun bila sudah berlarutan hampir seminggu lamanya barulah mereka percaya yang Norman sudah berubah.
Bukan itu sahaja, setiap kali bertemu orang kampung Norman akan datang dan meminta maaf jika ada sebarang kesilapannya di masa lalu.
“Saya minta maaf ye pak cik, jika sebelum ini saya pernah buat salah atau menyakitkan hati pak cik.
“Harap pak cik maafkan saya dan halalkan apa yang saya pernah makan dan ambil secara tidak sengaja sebelum ini,” katanya sayu.
Perkara tersebut berlarutan setiap hari sehinggakan sesiapa yang pernah bermusuh dan membencinya sebelum ini bertukar menyukainya. Dia juga ringan tulang membantu siak di surau mengemas dan membersih persekitaran surau, pendek kata perubahannya itu sudah menjadi buah mulut orang.
“Dahulu saya banyak buat silap, dan hari ini biarlah saya tebus setiap kesalahan yang pernah saya buat sebelum ini. Harap-harap Allah SWT ampunkan dosa-dosa saya,” katanya ketika ditanya tentang perubahan sikapnya ketika itu.
Jika sebelum ini setiap hari selepas bangun tidur dia akan meronda keliling kampung atau melepak di warung Haji Hassan di hujung simpang sehingga larut malam, tetapi kali ini tidak lagi. Seawal pagi dia sudah turun ke ladang membantu ayahnya mengait sawit atau menguruskan tanaman.
Selesai tugas di ladang dia akan membersihkan diri sebelum ke surau berdekatan untuk sama-sama mengerjakan solat berjemaah. Begitulah rutinnya setiap hari sehinggakan ada beberapa jemaah yang mengusiknya.
“Nasib baiklah aku ini tak ada anak perempuan, kalau tidak dah lama aku ambil kau jadi menantu,” kata lebai Sudin ketika mereka beriringan naik ke surau.
Norman tertawa kecil. Dia sudah masak sangat dengan orang di sekelilingnya. Memang dia akui sejak dia berubah pelbagai usikan nakal singgah di telinganya, bagi Norman kata-kata begitu tidak lebih daripada sekadar gurauan.
Orang yang paling gembira dengan perubahannya tentulah ayah dan ibunya. Mereka bersyukur dengan perubahan Norman. Mereka tidak sangka Norman berubah secepat itu, malah ibunya sendiri melakukan puasa nazar berikutan hijrah anaknya itu.
Tetapi kegembiraan yang dikecapi keluarganya tidak kekal lama.
Hari ini sekujur jasad anaknya yang sudah tidak bernyawa terbaring kaku di ruang tamu. Saya lihat wajah ibu dan ayahnya cukup sedih dan sugul dengan pemergian Norman, namun mereka tetap reda dengan ketentuan Ilahi.
Ketika menguruskan jenazah arwah, saya lihat semua urusan berjalan lancar. Dari kafan sehinggalah disemadikan ke liang lahad. Wajah arwah cukup bersih dan tenang seakan sudah bersedia untuk menghadap Ilahi. Ketika membantu untuk membawa jenazah arwah ke tanah perkuburan saya terkejut…
“Ya Allah, ringannya,” bisik saya dalam hati.
Bukan saya mengada-adakan cerita tetapi itulah hakikatnya. Sebelum ini sudah banyak kali saya membantu menghantar jenazah ke tanah perkuburan, namun jenazah arwah cukup berbeza. Rasanya, dua orang pun sudah cukup untuk membawanya.
Saya percaya inilah ‘bahagian’ istimewa yang berjaya diperoleh arwah di penghujung hayatnya. Walaupun kita tidak mampu mengukur setiap dosa dan pahalanya namun apa yang kita saksikan mungkin boleh dijadikan sebagai pengajaran. Benar, saya cukup cemburu dengan kematiannya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya