Muzik tak harus tewas - Utusan Malaysia

Muzik tak harus tewas

PERJALANAN menambah makna pada muzik yang dianggap sekadar hiburan akan mengambil masa yang lama. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DIA gila kerana percayakan kejinakan serigala, kesihatan si kuda, cinta budak lelaki serta janji perempuan jalang,” kata Si Dungu kepada Lear.

Si Dungu sentiasa setia. Dalam jenaka, kearifannya menyeimbang pertimbangan Lear – raja agung dengan kuasa yang melimpah.

Bukan barisan intelektual yang dapat menembus pintu kesedaran Lear tapi seorang badut. Si Dungu tinggal dalam kesedaran Lear, menawarkan semak imbang kepada keputusan-keputusannya dan membuka jendela kebenaran ketika dia tenggelam dalam kegelapan.

Kekuatan Si Dungu adalah pada komen sarkastik, ironi dan penuh humor kerana kebenaran ialah ulam pahit yang perlu dikunyah. Hiburan yang memaniskannya supaya mudah ditelan.

Badut bernama muzik

Muzik ialah Si Dungu buat saya. Ia menghibur tetapi juga mendidik. Ia buat saya gembira dan dalam masa sama, buat saya termenung mempersoal kesedaran sendiri.

Muzik ialah sang badut yang arif. Ia setia bagai bayang-bayang; selagi ada matahari dan cahaya, ia selalu ada.

Kisah Si Dungu dalam karya William Shakespeare mengingatkan saya bahawa hiburan boleh menjadi pendidik terbaik.

Sebab itu Rondivu wujud. Sebab itu menyokong perkembangan sihat lapangan muzik selalu menjadi nyawa dalam penulisan saya.

Sebab itu saya fikir, muzik tak harus tewas.

Jiran sebanding

Permulaan tahun ini nampak baik untuk industri filem negara. Banyak karya yang dijangka hebat telah disusun tayangannya di pawagam. Siri drama di televisyen juga mendapat perhatian ramai.

Usaha pengarkiban – setelah gagal diusahakan kerajaan – juga ada perkembangan yang positif. Kewujudan platform seperti SIAR serta Pusat Kajian dan Apresiasi Filem memberi peluang kepada anak muda menelaah karya lama.

Ekosistem lapangan sastera negara juga memuaskan. Penerbit baharu tumbuh, kedai buku bertambah.

Penganjuran hadiah sastera terus konsisten. Buku baharu dicetak, dijual dan dibeli.

Lapangan filem dan sastera negara juga ada kelemahannya tetapi jika dibaris sebelah-menyebelah dengan lapangan muzik, kita tahu siapa yang berdiri lebih tinggi.

Maka, untuk penggiat muzik, sebelum melihat jiran di seberang laut dan tambak, cuba jenguk jiran lapangan kita dalam negara dahulu. Sudah setandingkah kita dengan mereka?

Suburkah lapangan kita dengan ulasan, bedahan dan kritikan karya seperti mereka?

Kulit bawang

Dalam ketiga-tiga lapangan seni tadi, muziklah yang paling dianggap hiburan yang setulennya menghiburkan. Kerjanya untuk beri keseronokan semata, hanya sebagai gema perasaan.

Usaha mentafsir lirik atau membedah susunan lagu sangat nipis dan langka. Dalam kepala peminat massa, hal rumah tangga atau kontroversi rancangan televisyen lebih mendapat tempat.

Persembahan nyanyian paling disukai ialah persembahan yang percuma. Begitu juga platform mendengar muzik. Selagi boleh crack, dia crack. Album fizikal ketinggalan zaman, kata mereka.

Tapi menyalahkan pendengar massa ialah kerja sia-sia dan lemah. Kuncinya pada penghargaan dan kesedaran. 

Penghargaan muzik di negara ini senipis kulit bawang. Usaha menebalkannya akan mengambil masa dan saya mahu ambil pedoman dari lapangan filem.

Seperti yang sering diulang Al Jafree Md Yusop, usaha membangunkan sinema perlu dimulakan dengan membangunkan penonton. Begitu juga muzik, kita perlu bangunkan pendengar.

Niat jahat

Untuk membangunkan pendengar, kita perlu sediakan segala sumber yang diperlukan. Perlu ada arkib yang kaya dan sistematik. Pendidikan muzik di sekolah perlu direformasi.

Ulasan dan bedahan karya perlu mantap dan banyak. Jangan tutup mulut pengkritik.

Kritik selalu dikaitkan dengan niat jahat. Kritik dianggap menjatuhkan dan pengkarya serta penggerak lapangan pula ada ego yang tebal. Mereka fikir segala yang mereka buat perlu disokong dengan pujian melambung.

Ulasan yang tidak jujur akan memesongkan pandangan generasi masa hadapan. Apabila ulasan itu dibaca semula nanti, mereka fikir segala yang berlaku dalam lapangan hari ini baik-baik belaka. Sejarah jadi herot dan kebenaran tertimbus.

Pujian melambung pada setiap masa adalah bentuk utama sokongan yang membawa rebah. Sebab itu kritik penting. Impaknya tidak bertahan sehari dua tetapi bergenerasi. 

Kritik balas kritik juga yang mengembangkan idea dan wacana dalam lapangan. Tanya pengkarya hebat dalam lapangan filem dan sastera, mereka banyak belajar dari kritikan atau pujian melangit?

Mencari makna

Muzik akan terus hidup dan berdendang namun maknanya untuk pengkarya, penggerak dan pendengar boleh diperkuat.

Adakah ia sekadar hiburan atau peneman? Ia hanya menyeronokkan atau penuh renungan? 

Siapa raja dalam lapangan muzik, pasaran atau karya? Kita mahu jual rupa, gosip atau seni?

Kewujudan muzik sebagai hiburan selalu saya syukuri tapi saya mahu tambah makna padanya. Muzik ialah badut tetapi saya mahu ia jadi badut yang arif, seperti Si Dungu yang hilang dalam rembang tengah hari, mengganti Cordelia sebagai pelindung Raja Lear. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya