Warisan Maktokwan, ikan bakar segar harga berpatutan - Utusan Malaysia

Warisan Maktokwan, ikan bakar segar harga berpatutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBIASAANNYA apabila menyentuh mengenai lokasi restoran ikan bakar pastinya ramai yang memikirkan lokasi pinggir pantai seperti Manjung, Sabak Bernam atau Jeram di Selangor bagi menikmati kepelbagaian makanan laut seperti ikan, udang, sotong, ketam atau lala yang segar.

Ironi, Restoran Medan Ikan Bakar Ipoh Warisan Maktokwan yang terletak di Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak boleh diibaratkan seperti hidden gem yang menyediakan aneka masakan hidupan laut yang sedap dengan harga berpatutan.

Sebaik sahaja memasuki restoran ini yang telah beroperasi selama lima tahun ini, jelas terpampang di depan mata, deretan ikan segar seperti siakap, merah, kerapu, jenahak dan bawal ditambah dengan udang, sotong dan ketam yang pasti menggiurkan dan menaikkan deria rasa anda.

Pemiliknya, Siti Fatimah Abu Bakar, 33, berkata, idea membuka restoran yang mampu menampung sehingga 180 orang pada satu masa itu tercetus kerana sepanjang menetap di bandar raya ikonik tersebut tiada tempat yang menawarkan kepelbagaian ikan bakar dan makanan laut segar.

“Saya juga menawarkan kepada pelanggan ruang makan konsep terbuka dan berhawa dingin,” katanya.

Bercerita mengenai menu, anda perlu mencuba set talam daging bakar iaitu daging lembu tempatan yang dihiris halus sebelum dibakar dalam tempat bakar khas dengan kekuatan api sederhana.

Menariknya adunan daging yang dibakar kira-kira dua hingga tiga minit sebelum disulam seakan-akan konsep vietnam spring rolls dengan bawang goreng, sayur salad, suhun dan timun pasti membuka selera anda sebelum beralih kepada makanan berat lain.

Paduan dua jenis sos iaitu miso dan bijan sesuai untuk dimakan tiga hingga lima orang dengan berat daging 800 gram. Harga mampu makan iaitu RM49.90 bagi satu set.

Penggemar ikan bakar pasti teruja dengan set ikan dua nusantara iaitu dua jenis masakan iaitu ala Kuala Perlis iaitu menggunakan susu pekat manis dan serbuk kunyit serta bakar sambal.

Gabungan dua rasa serta kuah air asam pasti mengubat kerinduan masakan ikan bakar anda yang dibakar secara tradisional iaitu menggunakan arang yang membangkitkan deria bau dan rasa. Harganya sekitar RM45 hingga RM50 bagi satu set ikan mengikut saiz.

Sisi berbeza tomyam Bangkok pasti memberikan kelainan iaitu gabungan masakan ketam, ikan siakap, lala, sotong dan udang melimpah sesuai menjadi jamuan sekeluarga dengan elemen rasa masam, manis dan sedikit pedas. Harganya satu set hanya RM19.90. Memang berbaloi!

Perjalanan gastronomi di restoran ini belum berakhir iaitu menu telur dadar yang bukan biasa-biasa tetapi dengan ramuan udang cara Thai. Anda dapat menikmati keenakan telur dan udang bersaiz sederhana tetapi lazat apabila disuapkan di dalam mulut. Harga satu set RM7.90.

Bagi penggemar sayur-sayuran, ada menu bendi masak pes udang. Sayur yang direbus dengan sempurna dengan gabungan pes. Ibarat pengganti sambal dengan hasil yang tidak mengecewakan. Harga satu set RM10.90.

Antara menu wajib bagi penggemar makanan laut iaitu udang telur masin dengan saiz L atau XL segar dari Pantai Remis, Perak pasti membangkitkan selera dengan satu hidangan hanya berharga RM15. Mana hendak dicari harga sebegini Yop atau Yong?

Kata pemilik bersama Siti Sukainah Abu Bakar, 28, tujuan restoran itu dibuka untuk menyasarkan semua golongan terutama golongan B40 supaya dapat merasai keenakan makanan laut dengan harga mampu milik bukannya mampu tengok semata-mata. – Mingguan Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN