Roti cubit lonjak nama Restoran Thaiyyub

Roti cubit lonjak nama Restoran Thaiyyub

MUHAMMAD Azmin Mohamed Maideen (kiri) dan adiknya Muhammad Azman Mohamed Maideen mengusahakan Restoran Thaiyyub.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RESTORAN Thaiyyub yang terletak di Bertam Perdana, Kepala Batas, Pulau Pinang telah beroperasi selama lapan tahun dan semakin menjadi tumpuan ramai kerana keunikan hidangannya.

Diusahakan oleh saudara kembar, Muhammad Azmin Mohamed Maideen dan Muhammad Azman Mohamed Maideen; masing-masing berusia 34 tahun, restoran ini menawarkan pelbagai hidangan menarik yang menjadi pilihan para penggemar makanan untuk mencuba.

Antara menu istimewa tersebut adalah roti cubit dan variasi roti lain yang diinovasikan mereka semata-mata untuk memenuhi selera pelanggan.

Menurut Muhammad Azmin, Restoran Thaiyyub bukan sekadar sebuah restoran biasa kerana ia merupakan kesinambungan daripada perniagaan keluarga yang telah bertapak sejak empat generasi dalam industri makanan, terutamanya dalam penyediaan nasi kandar.

Katanya, perniagaan mereka bermula dengan restoran nasi kandar di Shah Alam, namun, dia dan adiknya kembali ke Pulau Pinang bagi meneruskan legasi perniagaan keluarga di Pulau Mutiara itu.

“Kami kembali ke Pulau Pinang sekitar lapan tahun lalu dengan membawa inovasi baharu dalam dunia kulinari, khususnya dengan memperkenalkan roti cubit sebagai hidangan utama.

 

“Roti cubit yang ditawarkan di Restoran Thaiyyub sebenarnya bukan sekadar roti canai biasa kerana ia merupakan hasil kajian dan penyelidikan (R&D) yang dilakukan secara mendalam bagi memberikan rasa yang unik dan berbeza kepada pelanggan kami,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Muhammad Azmin berkata, pada asalnya, roti cubit hanya dibuat dengan menggunakan inti ayam dan daging serta makanan laut sahaja.

Namun kini, katanya, restoran itu memperkenalkan variasi istimewa seperti roti cubit lamb shank, yang ketika ini menjadi kegemaran ramai.

“Keunikan roti cubit ini terletak pada penyediaannya di mana roti canai dimasak separuh masak terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam daun pisang bersama inti seperti ayam, daging atau lamb shank.

“Kemudian, ia dipanggang di atas dapur bagi mengekalkan kelembapan serta memberikan aroma yang lebih kaya dan menggoda selera pelanggan apabila semua kuah, inti dan roti canai diadun sekali,” terangnya.

Jelas Muhammad Azmin, teknik yang digunakan untuk memasak roti cubit menyerupai cara penyediaan roti canai banjir yang popular di Pulau Pinang, tetapi, dengan sentuhan inovasi baharu.

“Harga bagi roti cubit bermula dari RM12 hingga RM45, bergantung kepada jenis dan saiz hidangan.

“Kami pernah menjual 700 bungkus roti cubit dalam sehari dan ia menjadi rekod penjualan roti cubit yang paling tinggi di restoran kami,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain roti cubit, restoran mereka turut menawarkan variasi lain seperti roti ‘claypot’ yang dimasak menggunakan teknik unik.

“Restoran ini juga terkenal dengan ayam tandoori yang hadir dalam beberapa perisa menarik seperti garlic (bawang putih), pudina, dan mayonis.

“Selain itu, menu minuman popular di restoran kami adalah teh ais untuk dinikmati bersama makanan pilihan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, Restoran Thaiyyub beroperasi setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 12 malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN