Ikan ‘bakar bodo’ jadi pilihan ramai

Ikan ‘bakar bodo’ jadi pilihan ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENU yang ringkas. Ikan ‘bakar bodo’ bersama sambal belacan dicampur kicap dan perahan asam limau, menampilkan Kedai Ikan Bakar Sungai Puyu, di Pasir Puteh, Kelantan sohor dalam kalangan penggemarnya.

Pengusahanya, Mohamad Hasnan Mat Roni, 37, berkata, kedainya lebih dikenali dengan nama ‘Ikan Bakar Bodo’, merujuk kepada cara masakan yang minimalis — ikan hanya dipanggang kosong tanpa perapan, menonjolkan rasa asli dan manis isi ikan segar.

Menurutnya, konsep ini ternyata mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang mahukan kelainan sejak mula beroperasi pada Oktober tahun lalu.

“Modal awal sebanyak RM3,900, lebih berpaksikan konsep kongsi rezeki yang berbekalkan pengalaman saya sebagai pembantu pengurus sebuah kedai ikan bakar sebelum ini.

“Menu utama terdiri daripada pelbagai jenis ikan gred A termasuk aji-aji, bawal emas (paling laris), cencaru (paling asaa), gerung, pisang, ebek dan muduk serta hasil laut lain seperti udang dan sotong,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Ikan Bakar Sungai Puyu

Lokasi:

Laluan Utama Pasir Puteh- Semerak Beroperasi: Tujuh hari seminggu (12 tengah hari – 12 malam)

 

Mohamad Hasnan berkata, harga bermula serendah RM7 mengikut jenis dan gred ikan, menjadikan ia sangat ‘mesra poket’.

Katanya, pelanggan hanya perlu membayar harga ikan yang dipilih, sementara ulam, nasi putih, kuah sayur lemak, singgang, serta air sirap, anggur, dan oren disediakan secara percuma.

“Ini menjadikan konsep makan di sini sangat berbaloi, apatah lagi dengan suasana kampung di tepi sungai yang mendamaikan.

“Kedai ini beroperasi setiap hari dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam. Pelanggan boleh datang bila-bila masa untuk menikmati sajian ikan bakar segar yang dibakar atas bara secara tradisional,” katanya.

Lokasi kedai ini juga cukup unik — beroperasi di tapak rumah tinggal terbiar di tepi sungai Kampung Puyu, yang disewa pada kadar hanya RM150 sebulan. Persekitarannya redup dikelilingi pokok mangga, gucil dan pokok hutan lain memberi suasana santai dan nyaman.

 

Tambah Mohamad Hasnan, pelanggan bebas memilih tempat makan mengikut keselesaan sama ada duduk bersila atas tikar atau makan di meja terbuka di bawah rimbunan pokok.

“Pada satu masa, kedai ini mampu menampung sehingga 130 pelanggan, menjadikannya lokasi sesuai untuk makan keluarga atau berkumpulan.

“Pengunjung bebas mencampur kicap, sambal cili dan perahan asam limau mengikut cita rasa masing-masing. Ini menjadi satu tarikan tersendiri kerana memberi ruang untuk kreativiti pelanggan,” katanya.

Mohamad Hasnan memberitahu, menu mingguan sering disusun mengikut stok tangkapan segar di mana hari Isnin hingga Rabu biasanya memfokuskan kepada ikan cencaru, gerung dan muduk.

“Sementara itu, Khamis hingga Jumaat pula membawa masuk bawal emas, ebek dan udang. Hujung minggu pula dipelbagaikan dengan pilihan premium seperti aji-aji dan sotong. Pengunjung hanya membayar harga ikan bakar sahaja.

“Saya dibantu enam pekerja tetap yang menguruskan urusan memilih ikan, membersihkan, menyiang, membakar, dan melayan pelanggan.

“Setiap orang memainkan peranan penting bagi memastikan layanan pelanggan tidak melebihi 15 minit terutama ketika waktu puncak makan tengah hari dan malam,” katanya.

Pada bulan Ramadan lalu, katanya, kedainya menjadi tumpuan ramai untuk berbuka puasa sehingga tidak menang tangan menyiang dan membakar ikan kerana permintaan yang terlalu tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×