IBARAT anak Melayu di tanah Jakarta, itu yang boleh saya rangkumkan ketika berbuka puasa di Hotel Sunway Putra. Lagi pula, saya ini memang tekaknya nusantara, jadi memang kena benar dengan selera.
Selalunya, rangkaian hotel tempatan menyajikan hidangan Melayu kampung dan tradisional sempena Ramadan. Tetapi bezanya dengan bufet Santapan Nusantara Putra, pelbagai cita rasa mampu dipenuhi.

Menawarkan lebih daripada 100 hidangan klasik daripada Malaysia dan Indonesia, antara yang menarik selera saya, Gerai Sate Beragam yang sememangnya terkenal dari Purwakarta, Jawa, Indonesia.
Selain daging perap yang beza rasa rempahannya, kuah kacangnya juga mempunyai resipi berbeza. Saya juga jatuh cinta dengan sate Kambing Kecap dari Madura. Rasanya berbeza sekali.
Namun semestinya sate tempatan kita tidak kalah sedapnya. Memang cukup rasa rempah dan kuah kacang bila dimakan bersama nasi himpit, memang menjadi!
Bila berbuka, memang macam-macam kita hendak makan bukan? Jadi, saya mencuba Bakso yang dimakan sekali bersama sayur asem, rasanya sama seperti sebuah toko makan di Jakarta. Ada juga sup tulang.
Penggemar daging juga boleh menikmati hidangan daging sapi Taliwang dari Nusa Tenggara Barat yang sempurna dengan rasa manis dan pedas. Malah, Tongseng Kambing dari Jawa Tengah juga tidak kalah sedapnya.
Saya juga tertarik dengan Gerai Kuali-Kawah. Pilihan kambing bakar, gulai daging, sup tulang memang cukup dengan rasa rempah. Rasa seperti mak-mak kita masak. Kata orang, ada kehangatan cita rasa.
Selain gerai-gerai yang mempunyai pelbagai pilihan hidangan, pengunjung juga boleh memilih seleksi lauk-pauk antaranya ikan nila sambal matah, kari mamak kepala ikan jenahak, itik serati kerutuk dan lain-lain.
Malah, pilihan kerabunya juga sangat menarik. Pernah dengar kerabu sotong bunga suhun? Memang lain daripada yang lain. Ada juga cili ketam dengan telur dan seleksi hidangan seafood yang cukup meriah.
Selain hidangan berat dan sarat dengan lauk-pauk lazat, saya juga jatuh cinta dengan pilihan pencuci mulut yang boleh buat kita rambang mata.
Daripada Bubur Kacang Hijau yang lembut dan manis, hingga Bubur Pulut Hitam yang kenyal dan ‘menggoda’, Santapan Nusantara Putra juga menghidangkan Sago Pelangi Gula Aren dan buah-buahan.
Tidak dilupakan, rasa manis dan lembut kek pandan gula melaka dan kek marble yang tidak hanya cantik luaran tetapi sangat sedap ketika dimakan. Orang kata, lengkaplah hidangan kita bukan.
Sempena Ramadan ini, pelbagai hotel, restoran dan kafe yang menyediakan bufet hidangan dengan konsep berbeza. Jika anda teringin untuk ‘terbang’ ke Jakarta, tentu sahaja Hotel Sunway Putra adalah jawapannya.
Berlangsung dari 1 Mac hingga 27 Mac, harga bufet adalah RM135 nett seorang. Setelah itu, harga biasa adalah RM159 nett seorang.
Malah ada juga Peraduan Cabutan Bertuah bagi mereka yang membeli enam atau lebih bufet dewasa dalam satu resit. Hadiah menarik, termasuk baucar penginapan dan makan, turut menanti. –UTUSAN










