BERKONSEPKAN minimalis namun tetap menampilkan gaya kontemporari, Kafe Santai Le’ Fleur yang terletak di Taman Canning, Ipoh, Perak sememangnya cukup sesuai bagi yang inginkan ketenangan serta suasana santai bersama rakan, kenalan atau keluarga.

Suasana tenang pasti dirasai pelanggan sebaik sahaja memasuki kafe yang mula beroperasi pada 1 Ogos tahun lalu ini.
Reka bentuk, susunan meja dan kerusi makan memikat pelanggan selain harga makanan dan minuman yang berpatutan membolehkan semua golongan dapat menikmatinya dengan selesa.

Pengurus kafe, Zalinda Mohd. Noor berkata, konsep kafe ini lebih kepada life style (gaya hidup) untuk semua golongan.
Menurutnya, mereka yang bekerja secara work from home, bekerja sendiri malah usahawan pun boleh melakukan urus-niaga di sini.
“Kami mempunyai bilik khas untuk golongan kenamaan mengadakan program korporat atau majlis rasmi.
Santai Le’ Fleur
4, Lebuh Cicil Rae, Taman Canning, Ipoh, Perak
Buka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang
Tutup setiap hari Isnin
“Selain itu, ada ruang makan bagi yang berkeluarga dan ingin bersantai. Malah, pelanggan boleh memilih untuk makan di dalam yang berhawa dingin atau di luar,” katanya.
Zalinda berkata, hot latte dan caramel macchiato adalah antara minuman kegemaran pelanggan di cafe itu.
Hot latte yang disediakan bersama biskut mentega buatan sendiri itu, sememangnya lazat dan rangup apabila dicecah bersama kopi.
Terasa kenikmatan kopi tersebut terutama apabila diminum panas-panas Harganya hanya
RM9 secawan.
Pencuci mulut
Tidak lengkap sekiranya selepas menikmati makanan berat tanpa pencuci mulut, Kafe Santai Le’ Fleur tampil dengan dua pertaruhan iaitu sejenis pastri yang berasal dari Perancis yang dinamakan eclair yang sukar untuk didapati di tempat lain.
Seakan-akan cream puff namun perbezaannya adalah berbentuk panjang dan empat segi yang padat dengan kastard vanila dan limpahan coklat cair. Ia cukup sesuai bagi penggemar pastri dengan harga RM11 sahaja.
Tarikan kek coklat putih macadamia pula cukup menarik kerana bentuknya yang berbeza iaitu berbentuk seaman kubah (dome) dengan hiasan menarik.
Tekstur dan isinya padat dengan harga RM13 sahaja.
Nasi lemak basmati kangkung ayam
Nasi lemak basmati kangkung ayam berempah yang sememangnya mengenyangkan diolah dari sudut berbeza juga menjadi pilihan pelanggan kafe itu.
Kombinasi ayam bersaiz besar, kangkung segar, timun, kacang, ikan bilis serta keropok dengan kekuatan utama nasi basmati ternyata tidak mengecewakan.
Nasi basmati berbau harum, sambal yang cukup sempurna selain paha ayam bersaiz besar yang rangup dengan adunan rempah rahsia, apa lagi hendak dikata!
Harga bagi satu set hidangan adalah RM17.
Ramuan rahsia
Bagi penggemar minuman caramel macchiato, sukatan susu segar, kopi espresso dan sirap karamel yang ideal ternyata membangkitkan keterujaan. Harganya RM14 segelas.
Menu signature kafe ini iaitu cucur udang dan keistimewaannya berbanding cucur yang lain adalah kombinasi dua kuah iaitu kacang dan cili yang menjadi ramuan rahsia cef kafe ini.
Ternyata, gabungan dua kuah tersebut cukup padu dan membuatkan sesiapa sahaja teruja menikmatinya kerana elemen pedas, masin dan manis secukup rasa.
Rangup apabila dikunyah di dalam mulut. Terasa kelazatan udang segar yang digoreng bersama sulaman tauhu yang memikat selera.
Jika singgah di Ipoh pastikan Santai Le’ Fleur menjadi salah satu pilihan utama program menjelajah dunia gastronomi anda! – UTUSAN










