JIKA melihat suasana di Tong Kayu Cafe yang terletak di Bayan Lepas, Pulau Pinang siapa sangka cafe yang luas dan selesa itu dahulunya bermula daripada sebuah warung dan perniagaan di pasar malam.
Sejak 1997, perniagaan Tong Kayu Cafe bertapak di warung dan pasar malam sekitar Bayan Lepas dan menu seperti nasi ayam panggang, nasi ayam panggang madu berempah ratus mula mendapat tempat dalam kalangan pelanggan.
Oleh kerana mahu melihat resipi turun temurun ibu dan ayahnya, Shahran Abdul Khalid, 60, dan Mazliyani Mohd. Basir 51, itu dikekalkan dan dapat dinikmati pelanggan sepanjang masa, seorang anak muda, Mohamad Fakhrullah Shahran, 31, nekad membuka sebuah restoran bagi mengukuhan jenama Tong Kayu Cafe di Pulau Pinang.
Mohamad Fakhrullah berkata, dia meneruskan perniagaan di Tong Kayu Cafe yang dimulakan oleh ibu bapanya itu di lot restoran berhampiran Jalan Flat Sri Bayu, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 2022 iaitu selepas pandemik Covid-19.

“Menu-menu yang dikenali ramai dan dimulakan oleh ibu bapa saya seperti nasi ayam panggang, nasi ayam panggang madu rempah ratus, nasi lemak kukus, cendol santan sawit dan lain-lain menu saya kekalkan resipinya sehingga kini.
“Tiada apa yang diubah dalam resipi ibu saya walaupun perniagaan keluarga saya telah berpindah dari di warung ke sebuah restoran di Bayan Lepas.
“Saya ingin memberikan keselesaan dan mempelbagaikan pilihan makanan kepada pelanggan setia kami di Tong Kayu Cafe,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Mohamad Fakhrullah, pada masa ini, dia menguruskan sepenuhnya Tong Kayu Cafe kerana sudah tiba masanya untuk ibu dan bapanya berehat daripada memasak dan berniaga.
“Selain menu yang menjadi ‘signature’ keluarga kami seperti nasi ayam panggang, nasi ayam panggang madu rempah ratus, nasi lemak kukus dan bihun sup utara, saya juga memperkenalkan menu lain di restoran ini seperti menu makanan Barat.
“Selain itu, terdapat juga makanan Timur Tengah seperti shawarma, setakat ini terdapat kira-kira 30 menu makanan dan minuman di restoran Tong Kayu.
“Kesemua minuman dan makanan pula harganya bermula dari RM3.50 sehingga RM25,” terangnya.
Mohamad Fakhrullah berkata, dia memperkenalkan konsep mix food itu kerana ingin memudahkan para pelanggan kerana tidak semua orang mempunyai cita rasa dan pilihan makanan yang sama.
“Saya mahu apabila pelanggan datang ke restoran saya, mereka ada pelbagai pilihan makanan, daripada makanan Melayu, makanan Barat dan makanan Timur Tengah semuanya ada di sini.
Tong Kayu Cafe
Alamat : 12, Jalan Kampung Bukit,
11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang
Buka setiap Isnin hingga Ahad : 11 pagi hingga 10 malam
SAFINA“Malah kalau pelanggan mahu menikmati menu seperti pulut nyior ikan masin pun ada di sini, jadi pelanggan tanpa mengira usia boleh menikmati makanan di Tong Kayu Cafe ini,” katanya.
Tambahnya, perniagaan di Tong Kayu Cafe bermula pada pukul 11 pagi sehingga 10 malam setiap hari dan dia hanya menutup perniagaan sekiranya ada hal-hal kecemasan sahaja.
“Pelanggan ada setiap hari, selalunya pelanggan ramai sekitar pukul 11 pagi hingga 2 petang, dan kemudian pada waktu malam pula selalunya bermula selepas Maghrib pelanggan akan datang ke sini bagi menjamu selera,” katanya.

Mohamad Fakhrullah berkata, selepas mengukuhkan jenama Tong Kayu Cafe di Bayan Lepas, dia bercadang untuk memperkenalkan restoran itu di Seberang Perai pula iaitu di sekitar kawasan Bertam.
“Saya mahu mengembangkan perniagaan ini di sana kerana saya dapati pasaran agak besar dan banyak prospek pelanggan baharu di kawasan Bertam,” terangnya. – UTUSAN










