Ikan bakar petai bangkit selera makan - Utusan Malaysia

Ikan bakar petai bangkit selera makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENU ikan bakar berempah bersama rincisan petai di Kelantan hanya disajikan di Kedai Ikan Bakar Abang Petai di Kampung Kuala Semerak, Pasir Puteh yang baru beroperasi kira-kira dua bulan lalu.
Proses gaul rempah dan taburkan hirisan nipis isi petai bersama kulitnya dikatakan menambah keenakkan untuk dimakan bersama nasi panas.
Pengusaha kedai makan tersebut, Mohd. Syaharul Nizam Mahmood, 28, tidak menyangka menu percubaannya menjadi tarikan ramai terutamanya penggemar petai sekali pun terpaksa bersaing dengan puluhan kedai ikan bakar yang sudah lama bertapak di Tok Bali.
Menurutnya, pelbagai jenis ikan segar seperti siakap putih, kakap merah, jemuduk, jenahak, pari dan lain-lain dipamerkan untuk pilihan pembeli.
“Layanan segera dan sajian dalam tempoh 15 hingga 20 minit selepas ikan bakar diproses menjadi piagam pelanggan kami. Paling pantas, sajian minuman diikuti tempahan lauk dan nasi putih.
“Ikan dibakar menggunakan pembungkus aluminium dan dibakar menggunakan dapur tradisional arang kayu. Tempoh masak kira-kira 15 minit,” jelasnya ketika ditemui di kedai makan miliknya baru-baru ini.
Menurut Mohd. Syaharul Nizam, pengalamannya mengedar petai ke seluruh Pantai Timur termasuk kedai makan tersohor, Ana Ikan Bakar Petai, Tanjung Lumpur dan Johor selama 2O tahun telah mencetuskan idea untuk membuka sendiri kedai makan itu.
Kerja warisan membeli petai dari Thailand dan Kuala Kurau, Perak itu, katanya, bermula ketika berusia 18 tahun dalam memenuhi permintaan restoran ulaman yang menyajikan petai.
“Kedai ini menyajikan ikan segar laut dari kaki pancing dan nelayan bubu. Pencicah pedas diasingkan hidangannya bagi membolehkan mereka yang tidak tahan pedas menikmati masakan ikan khususnya kanak-kanak,” katanya.Dia memberitahu, seramai tujuh pekerja memikul tugasan masing-masing dalam memastikan pelanggan tidak menunggu lama untuk menjamah makanan.
Ceritanya lagi, pes ikan bakar dihasilkan sendiri dengan bahan-bahan utama dalam kadar mencukupi dan memenuhi permintaan pelanggan yang berkunjung setiap hari kecuali Rabu.
“Selain ikan bakar petai, ketam goreng, udang dan sotong celup tepung turut dijual termasuk udang ketok ‘bakar bodo’.
“Harga ikan bergantung kepada gred dan berat timbangan yang ditetapkan dan terlebih dahulu ditimbang di depan pembeli,” terangnya.
Jelasnya lagi, ikan hanya akan disiang dan dibakar selepas mendapat persetujuan pelanggan.
Tambahnya, teguran pelanggan terhadap mutu layanan dan keenakan makanan dianggap penting untuk memperbaiki kelemahan yang mungkin terlepas pandang.

Ikan Bakar Abang Petai
Lokasi: Kampung Kuala Semerak, Pasir Puteh, Kelantan.
Waktu operasi: Pukul 4.30 malam hingga 11.30 malam
Waktu puncak: 8 malam hingga 11 malam
Setiap hari kecuali Rabu

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya