Makan-makan: Ibarat bersantap di Acheh di Restoran Meutuwah

Makan-makan: Ibarat bersantap di Acheh di Restoran Meutuwah

Meutuwah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKAN MAKAN

SAAT kaki melangkah masuk ke restoran, hidung segera menangkap bau harum yang terbit dari kuah gulai yang sedang mendidih. Difahamkan, sementara menanti krew Makan-Makan Mingguan Malaysia, cef menyediakan gulai kambing Acheh untuk dijamu kepada kami.

Di atas meja, terhidang lauk-pauk penuh variasi. Seperti menyambut tetamu istimewa, ia melahirkan perasaan terharu mengenangkan kesungguhan pemilik restoran menerima kunjungan kami.

Siti Husna Farsi Makhmud

Itulah sebahagian pengalaman bertandang ke Restoran Meutuwah, iaitu restoran Acheh pertama di tanah air yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Memang dalam budaya Acheh, tetamu harus diraikan dengan baik. Semoga dengan keraian itu, bertambah keberkatan Ilahi,” kata pemilik generasi kedua Restoran Meutuwah, Siti Husna Farsi Makhmud, 28.

Dia memberitahu, meutuwah bererti bertuah.

“Sebutannya haruslah disebut me-tu-ah. Sejarahnya bermula seawal 1995 di Gombak. Pada waktu itu, kami sekeluarga menetap di sana.

“Ayah bekerja sebagai tukang jahit kasut, jadi demi membantu keluarga, ibu berniaga makan-makan depan rumah. Oleh kerana ibu dan ayah memang berasal dari Acheh, maka ibu berniaga makanan autentik Acheh,” jelasnya.

PLIEK-U, ASAM SUNTI

Mengenali asas makanan etnik Acheh satu pengalaman yang mengujakan. Sungguh berbeza bahan asasnya berbanding masakan etnik lain di Nusantara.

“Ada dua asas utama menu Acheh, iaitu pliek-u dan asam sunti. Pliek-u ini merujuk hampas kelapa yang ditapai. Proses membuatnya sangat rumit. Pertama sekali, hampas kelapa diasingkan minyaknya.

“Hampas itu kemudian dipadatkan bagi membuang semua cecair, kemudian ditapai. Seterusnya dikeringkan sehingga menjadi seakan-akan serbuk kelapa,” katanya.

Jelasnya lagi, pliek-u ini kemudian dijadikan asas kepada menu berkuah Acheh, sekali gus membuktikan sikap Melayu Nusantara yang sangat berjimat dan tidak membazirkan bahan makanan.

“Dalam budaya etnik Acheh, minyak kelapa atau minyak reutik lazimnya dibuat memasak. Untuk mendapatkan minyak, kelapa diperah. Hampas kelapa itu pula tidak dibazir, sebaliknya ditapai dan dijemur kering sehingga terciptalah pliek-u,” katanya.

Pada masa sama, katanya, orang Acheh juga mendapatkan elemen masam melalui sejenis bahan unik, iaitu asam sunti.

“Kalau orang Minang, mereka guna asam kandis. Orang Melayu, guna asam jawa atau asam gelugor. Tapi bagi etnik Acheh, kami gunakan asam sunti, iaitu belimbing buluh yang dikeringkan.

Rasanya kurang berasid dan ada sikit rasa lemak,” jelasnya.

IKAN SUSU, GULAI KAMBING

Antara hidangan yang memukau adalah ikan susu asam keueuing.

“Asam keueuing maksudnya asam yang ada rasa pedas. Bagi gulai ini, ikan susu segar dimasak dalam kuah pedas masam yang menggunakan asam sunti sebagai ramuan utama,” ujar Husna.

Katanya, berbeza dengan budaya etnik lain Indonesia yang menjadikan ikan kaloi, patin atau belida sebagai ikon, etnik Acheh pula lebih gemar ikan susu.

“Ikan ini lebih lemak, isinya pejal dan sangat manis kalau digulai. Cuma ia banyak tulang, agaknya sebab itu orang kurang gemar,” katanya.

Hidangan lain yang tidak kurang memukau pastilah ikon utama orang Acheh iaitu gulai kambing.

Rasanya sukar ditafsir, barangkali penggunaan beberapa bahan trade secret membuatkan deria sukar mengesan apakah ramuan dalam gulai itu.

Tidak ketinggalan nasi bu-guri. Persis nasi lemak tempatan, namun ia punyai rasa lemak yang lebih ‘pekat’. Membuatkan setiap suapan jadi lebih menyeronokkan, nasi ini juga dihidangkan bersama sejenis sambal yang sangat menarik, yang sarat dengan rasa masam, pedas dan manis.

Selain itu, menu lain seperti gulai sayur pliek-u, ayam tangkap serta pais ikan Acheh juga tidak terkalahkan. Semua menu itu dipadankan pula dengan minuman penyejuk badan iaitu air mentimun.

Bayangkan, setiap kali menyedut air dari straw, pasti disedut sama hirisan timun yang disagat halus. Sudah tentu, itu pengalaman kulinari yang sangat mengujakan! – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN