Ramadan bulan penyucian rohani

Ramadan bulan penyucian rohani

BABO HAJI AHMAD ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERPUASA di bulan Ramadan adalah perintah Allah SWT yang wajib ditunaikan tanpa ingkar kecuali dengan sebab yang dibenarkan syarie namun wajib diganti (Qada) semula.

Ibadah puasa sepanjang Ramadan terkandung banyak ganjaran pahala yang dijanji Allah SWT selain hikmah mendidik rohani dan manfaatnya kepada umat Islam.

Berkongsi pandangan, Pengasas Pondok Tasek, Wilayah Pattani, Babo Haji Ahmad Abdul Rahman berkata, perkara paling utama adalah mendidik jiwa dan mengasuh hati nurani untuk berakhlak mulia dan taat terhadap perintah Allah SWT.

Menurutnya, mendidik jiwa dan bermuhajadah perlu dilakukan tanpa menunggu kehadiran Ramadan namun jadikan kemuliaaan ‘al-mubarak’ ini sebagai pemangkin keinsafan dan mengelak daripada kerugian dalam kehidupan.

“Mujahadah adalah usaha bersungguh-sungguh memerangi hawa nafsu, sifat keji dan keinginan melampau yang bertujuan menyucikan jiwa untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Jadikanlah Ramadan ini sebagai titik mula atau nilai tambah dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan.

“Allah SWT telah memnurnkan peringatan agar manusia tidak alpa atau lalai dengan keduniaan yang sepatutnya digunakan sebagai jambatan ke akhirat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di

Maahad Tahfizul Quran As-Syakirin, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.

BABO HAJI AHMAD ABDUL RAHMAN
AL-FATONI
Usia: 78 tahun
Asal: Wilayah Pattani, Selatan Thailand.
Penglibatan:
Pengasas Maahad Islamic Darussalam (Pondok Tasek), Pattani, Selatan Thailand.
Naib Kadi Wilayah Yala, Selatan Thailand.
Jamiah ulama Pattani
Penulis kitab 17 susunan risalah akidah, fekah dan tasawuf.

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al- ‘Asr ayat 1 hingga 3 )

Katanya, selain amal soleh sepanjang Ramadan, saling berpesan untuk kebaikan dan nasihat menasihati perlu dilakukan dalam konteks hubungan sesama manusia (hablum minannas).

“Paling tidak kita bukanlah golongan yang rugi kerana selalu nasihat menasihati, ajak rakan taulan berbuat baik, tidak kikir ilmu dan harta demi keredaan Allah SWT,” katanya.

Berbalik kepada manfaat berpuasa, katanya, ia melibatkan keluhuran rohani dan jasmani semua individu.

Menurutnya, ketakwaan kepada Allah SWT terbina kesan keikhlasan hakiki menahan lapar dan dahaga serta mentaati hal-hal yang membatalkannya demi mengharap pahala-Nya.

Wahai orang-orang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa,”
(Surah al-Baqarah ayat 183)

Ahmad berkata, ‘Muroqabatullah’ yakni selalu merasakan diri diawasi Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Menyaksikan segala perbuatan hamba-Nya adalah penting dalam menyelusuri tingkah laku sepanjang melaksanakan ibadah berpuasa.

“Disiplin berpuasa lebih berintegriti dengan adanya muroqabatullah. Taat dan tidak ingkar walau bersendirian.

“Penuhi puasa dengan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tingkatkan amal makruf, bertadarus dan bersedekah malah akrabkan persaudaraan sesama Islam dengan membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Ahmad berkata, misi utama maqasid puasa adalah untuk membebaskan manusia daripada pengabdian kepada nafsunya sendiri kerana di dalam jasad manusia ada sifat-sifat mazmumah seperti tamak, sombong, hasad dengki dan riak.

Katanya, pada Ramadan inilah umat Islam digalakkan untuk membentuk diri yang baharu dengan membersihkan jiwa, mengamalkan bacaan al-Quran, berzikir, mendengar ceramah dan sebagainya.

“Semoga ibadah yang kita lakukan pada bulan Ramadan kali ini diterima oleh Allah SWT. Jadikanlah Ramadan sebagai wadah membersihkan kalbu dan rohani,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×