KITA masih berada dalam bulan Rejab. Bermula 1 Januari 2025, iaitu tahun baharu dalam kalendar Masihi, maka tarikh yang sama juga bermula 1 Rejab dalam tahun Hijrah dalam bulan (kalendar) Islam.
Rejab bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Di samping itu, Rejab merupakan bulan ketujuh Tahun Hijrah dan ia antara bulan Haram yang diharamkan peperangan atau pembunuhan.
Menurut Timbalan Kadi Jengka, Maran, Ustaz Mohd. Fikri Hamzah, bulan Haram terdiri daripada empat bulan di dalam kalendar Islam, iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab.
Mohd. Fikri berkata, Allah berfirman dalam Surah al-Taubah, ayat 36 yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, ada di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang bertakwa.”
Katanya, dalam surah itu, Allah SWT menjelaskan terdapat 12 bulan dalam setahun dan Islam menetapkan empat bulan daripadanya sebagai bulan haram.
“Bulan haram boleh didefinisikan sebagai bulan yang sangat dihormati kerana diharamkan sesiapa jua berperang dalam bulan ini. Bulan haram juga bermakna bulan yang suci. Empat bulan haram atau bulan suci ini adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.
“Bulan Rejab termasuk dalam salah satu bulan Islam yang mempunyai keistimewaan. Selain diharamkan berperang, kita juga diharamkan melakukan kezaliman atau maksiat seperti menganjurkan pesta-pesta hiburan yang melalaikan,” katanya.
MOHD. FIKRI HAMZAH
Usia: 37 Tahun
Tempat Lahir : Hospital Jerantut
Kampung Asal : Kampung Batu Bor, Chenor, Maran
Pendidikan :
Sekolah Kebangsaan Batu Bor (1994-1999)
Maahad Tahfiz Ummul Qura Pondok Kolam, Kelantan ( 2000-2002)
Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu (2003-2006)
Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Pengajian Islam Dan Bahasa Arab,Kepujian (2006-2011).
Maahad Darul Mustafa,Tarim, Hadhramaut, Yaman (2012-2013)
Tugas dan kegiatan :
Timbalan Kadi Jengka, Maran
Imam Satu Masjid Bandar Pusat Jengka, Maran
Setiausaha Pertubuhan Ittihad An-nur Cawangan Pahang.
Dalam pada itu, Mohd. Fikri menambah, antara kelebihan dalam bulan Haram ini ada disebutkan oleh Al-Hafiz Ibn Kathir, (4:130) menerusi tafsirnya menukilkan pendapat Ibn Abbas yang menyatakan setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram tersebut, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain.
Katanya, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar pahala berbanding bulan lain.
Rejab juga dipanggil bulan bertanam (melaburkan amal soleh), berdagang (berbakti untuk diberi ganjaran daripada Allah), beristighfar (memohon ampun). Jadi, umat Islam, seharusnya menjadikan bulan haram termasuk Rejab sebagai bulan ibadah, di samping sedaya-upaya menghindarkan diri daripada segala bentuk dosa.
“Memasuki Rejab bermakna kita telah berada di gerbang Ramadan kerana tinggal kurang dua bulan lagi kita akan menyambut bulan suci itu. Apa salahnya kita jadikan Rejab ini sebagai titik tolak peningkatan amalan kita. Umat Islam sangat digalakkan berpuasa pada bulan haram.
Puasa dapat mencegah diri daripada maksiat. Tambahan pula, puasa ini boleh menjadi latihan dan persiapan diri kita menjelang tibanya bulan Ramadan nanti,” katanya.
Mohd. Fikri berkata, umat Islam perlu mengingati dan mengambil pengajaran daripada pelbagai peristiwa penting berlaku dalam Rejab seperti Isra’ dan Mikraj, penghijrahan pertama umat Islam ke Habsyah, Peperangan Tabuk dan peristiwa pembebasan kali kedua kota Baitulmaqdis oleh Sultan Salahuddin al-Ayubi.
“Rejab juga bulan kelahiran Imam al-Shafie dan dalam bulan ini juga berlakunya dua peristiwa yang sangat mendukacitakan dalam sejarah umat Islam, iaitu kejatuhan Khilafah Uthmaniah yang bertapak di Turki dan Baitul Maqdis ke tangan Zionis Israel Laknatullah pada tahun1948 Masihi,” katanya.
Sempena bulan Rejab ini, beliau mengajak umat Islam membaiki hubungan dengan Allah SWT dengan membanyakkan amal soleh seperti membaca al-Quran setiap hari, berzikir, beristighfar, berdoa, bersedekah, menunaikan solat-solat sunat, berpuasa sunat dan membersihkan hati kita. – UTUSAN










