RAKYAT Malaysia memang pemurah. Disebabkan sifat itu juga ada yang berani dan sanggup menunggang agama, menipu demi meraih keuntungan menerusi kutipan derma.
Bersedekah yang menjadi amalan mulia dengan pelbagai ganjaran berganda dan amat dituntut dalam agama sekali gus menjadikan modus operandi si penunggang agama lebih mudah.
Malah, ada juga yang berkolaborasi dengan pempengaruh semata-mata untuk meraih publisiti bagi meningkatkan tahap keyakinan penderma.
Sebab itu, kita boleh melihat semakin banyak persatuan atau pihak tertentu yang sanggup meraih keuntungan atas nama derma untuk dihulurkan kepada orang susah.
Menurut Ustaz Muhamad Khairul Basri Osman, perkara sedemikian memberi kesan kepada agama Islam dan boleh menimbulkan fitnah terhadap agama.
“Kita tahu bersedekah dan menjadi seorang yang pemurah itu satu perkara yang baik serta amat dituntut dalam agama.
“Namun, apabila ada yang sanggup menyalahgunakan perkataan ‘derma’ itu sendiri untuk meraih keuntungan, ia sesuatu yang tidak bertanggungjawab,”katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Muhamad Khairul Basri, perkara tersebut perlu dibendung dan tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat pada hari ini.
Malah katanya, setiap sumbangan orang ramai yang mahu diberikan kepada orang susah dan dikenakan caj pengurusan atau perkara lain perlu diakad antara penyumbang serta pihak pengurusan.
“Akad antara penderma dan pihak pengurusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) contohnya mestilah jelas.
————————————————————————————————————————
Muhamad Khairul Basri Osman
Umur: 43 tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuludin dan Falsafah) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
—————————————————————————————————————————-
“Katakanlah saya mahu buat kutipan dan infak. Saya perlu cakap dengan jelas bahawa 70 peratus sumbangan kita salur pada pusat kebajikan. Sementara jumlah daripada 20 peratus sumbangan untuk kos pengurusan serta 10 peratus untuk buat pelaburan bagi memastikan sumbangan dapat bertambah pada masa akan datang. Jadi, semua itu perlu dijelaskan kepada pemberi sumbangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhamad Khairul Basri berkata, caj untuk pengurusan juga perlu bersesuaian dengan mengikut tahap gerak kerja sesebuah NGO atau pihak yang mengutip derma.
“Walaupun kita tahu akad yang dinyatakan itu jelas itu bukan bermaksud kita mahu menyeleweng, nilainya juga perlu mengikut kesesuaian dan munasabah.
“Contohnya , gunakan suara pempengaruh dalam tempoh 10 minit sebagai iklan. Jadi, nilainya perlu sepadan sebab kita mahu lakukan kebajikan dan bukannya keuntungan,”ujarnya.
Menurunya lagi, sekiranya sumbangan tersebut diambil secara batil iaitu bersembunyi dan bukannya menjadi hak, hukumnya haram serta menjadi satu penipuan.
“Justeru wajib akad dan jelas kepada pemberi sumbanga. Paling penting jangan melampaui batas dan ikut dengan usaha kita.
“Mengapa dengan usaha kita yang tidak seberapa itu perlu diambil sumbangan yang agak banyak?” soalnya.- UTUSAN










