Keruntuhan akhlak undang kemurkaan Allah

Keruntuhan akhlak undang kemurkaan Allah

NIK MOHD ANUAR NIK OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERUNTUHAN akhlak yang berlaku dalam masyarakat Islam ketika ini berpunca daripada kurangnya didikan ilmu agama.

Kegagalan umat Islam untuk menjaga hubungan dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW menyebabkan mereka sanggup meninggalkan al-Quran dan sunnah yang sepatutnya menjadi pegangan hidup.

Pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Nik Mohd. Anuar Nik Othman berkata, umat Islam dibimbangi akan terus hanyut dengan dosa dan maksiat sekiranya perkara itu dibiarkan berterusan.

Menurutnya, lebih menakutkan, keruntuhan akhlak yang serius mampu menghancurkan sesebuah negara.

Katanya, Allah telah memberi peringatan seperti mana firmannya dalam surah Surah al-A’raaf ayat 96 yang bermaksud ‘Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan’.

“Justeru, kita perlu menyedari bahawa maksud melanggar perintah Allah SWT bukanlah sekadar menyembah berhala semata-mata.

“Sebaliknya apa sahaja perbuatan maksiat dan dosa termasuk tidak meyakini hukum dan janji Allah SWT dan tidak melaksanakan suruhannya juga bermaksud melanggar perintah Allah SWT,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Beliau menambah, sebarang perbuatan manusia yang melanggar perintah Allah SWT adalah seumpama berlaku zalim terhadap diri sendiri.

Katanya, pada masa ini, semakin ramai umat Islam yang terjerumus dalam pelbagai perkara maksiat seperti berzina, minum arak, berjudi, mendedahkan aurat, memakan riba serta memberi dan menerima rasuah.

Tambahnya, lebih menyedihkan umat Islam hari ini apabila ada segelintirnya yang menganggap bahawa perbuatan zina secara sukarela dan melakukan seks secara bebas atau songsang adalah urusan peribadi sahaja.

“Mereka beranggapan orang lain tidak perlu ambil peduli apatah lagi melaksanakan undang-undang terhadap pelakunya sedangkan banyak kisah dalam al- Quran yang menceritakan tentang umat terdahulu yang dibinasakan seperti kaum Nabi Luth akibat budaya homoseksual.

“Allah berfirman dalam Surah Hud ayat 82 hingga 83 yang bermaksud ‘Maka apabila datang (masa pelaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh daripada orang yang zalim itu,” katanya.

“Oleh itu, marilah kita sama-sama meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat yang boleh mengundang bala daripada Allah SWT,” ujarnya.

BIODATA

  • Nik Mohd. Anuar Nik Othman
  • Umur: 44 Tahun
  • Asal: Kampung Pengkalan Berangan, Marang, Terengganu

PENDIDIKAN

  • SMKA Sheikh Abdul Malek Kuala Terengganu
  • Pra Akademi Islam Universiti Malaya Nilam Puri Kota Bharu Kelantan
  • Universiti Malaya Kuala Lumpur- Ijazah Sarjana Muda Syariah
  • Maktab Perguruan Ilmu Khas Cheras Kuala Lumpur- Diploma Pendidikan Islam
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi- Ijazah Sarjana Pendidikan Islam

UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN