Amanah besar jaga madrasah moden pertama negara

Amanah besar jaga madrasah moden pertama negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAWATAN sebagai Yang Dipertua Madrasah Al-Ihsaniah di bandar Teluk Intan, Perak merupakan amanah besar yang digalas Akram Ayob.

Ini kerana Akram, 62, bertanggungjawab menguruskan madrasah yang bukan sahaja memiliki nilai warisan sejarah yang tinggi kerana sudah berusia 123 tahun tetapi madrasah itu juga merupakan madrasah moden pertama di negara ini.

Dibina pada tahun 1901, madrasah itu masih digunakan dan terus mengekalkan fungsinya bukan sahaja sebagai tempat ibadat bagi masyarakat Islam setempat tetapi juga sebagai tempat pengajian agama.

Apa yang menariknya, Akram, anak kelahiran Pasir Bedamar di bawah Parlimen Teluk Intan bukanlah asing di madrasah tersebut.

Ini kerana sejak usia awal remaja lagi, madrasah itu merupakan tempat beliau mempelajari ilmu agama daripada tokoh-tokoh agama di Teluk Intan dan Hilir Perak.

Kini Akram juga merupakan antara tenaga pengajar di madrasah tersebut.

“Sejak awal usia remaja lagi, madrasah inilah tempat saya menimba ilmu agama, bermula dengan ilmu asas agama seperti fardu ain iaitu pada tahun 70-an. Sepanjang belajar di sini, saya berguru dengan ramai guru dan tokoh agama di daerah ini.

“Saya masih ingat ketika itu madrasah ini merupakan antara madrasah yang terkenal sebagai tempat belajar agama dan sering mengundang tokoh agama terkenal.

“Kini saya masih di madrasah ini sebagai Yang Dipertua sejak tahun 2000.

Akram Ayob
Umur: 62 tahun
Pekerjaan: Yang Dipertua dan tenaga pengajar Madrasah Al-Ihsaniah, Teluk Intan, Perak

“Menjadi Yang Dipertua Jawatankuasa Pengurusan masjid merupakan tanggungjawab dan amanah yang besar buat saya kerana madrasah ini memiliki nilai sejarah yang tinggi.

“Saya dan jawatankuasa madrasah berikrar untuk terus menjaga madrasah ini dengan baik, terus mengimarahkannya dengan pelbagai program agama untuk masyarakat setempat,” katanya.

Berdasarkan catatan, Madrasah Al-Ihsaniah merupakan madrasah moden pertama di negara ini.

Madrasah itu diasaskan oleh seorang ulama kelahiran Minang­kabau iaitu Sheikhul Islam Mohd. Salleh Mohd. Taib yang belajar agama di Mekah dan berguru dengan ulama-ulama terkemuka ketika itu.

Sheikhul Islam Mohd. Salleh datang ke Perak atas undangan Raja Mahmud, Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan dan menetap di Kuala Kangsar. Beliau kemudian berpindah ke Teluk Anson, kini dikenali Teluk Intan.

Dengan sokongan dari masyarakat bertambah, beliau kemudian membina sebuah madrasah yang diberi nama Madrasah Ihsaniah di atas sebidang tanah seluas setengah ekar pada tahun 1901.

Dikatakan, bangunan asal Madrasah Al-Ihsaniah dibina menggunakan kayu-kayu dengan beratapkan nipah.

Apabila kewangan madrasah mencukupi, bangunan dibina menggunakan kayu dan masih kekal hingga ke hari ini.

Wakaf bagi pembinaan ini turut disumbangkan oleh Almarhum Sultan Idris Murshidul’ Adzam Shah ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar.

Menurut Akram, berbekalkan ilmu agama yang dipelajarinya selama belajar di madrasah itu sejak muda, beliau juga mengajarkan ilmu asas agama seperti fardu ain, tasawuf dan hadis di madrasah itu selain di masjid-masjid sekitar Teluk Intan. “Saya mengajar agama menerusi kuliah agama di masjid-masjid di daerah ini, saya tidak mengajar secara kelas tetap.

“Saya lebih banyak memberikan ilmu, bimbingan agama secara terus semasa kuliah dijalankan.

“Bagi madrasah ini, kami mengimarahkannya dengan program pengajian agama yang diadakan dua kali seminggi iaitu tazkirah dan penganjian kitab,” katanya.

Di sebalik kepesatan pembangunan bandar Teluk Intan, Akram yakin Madrasah Al-Ihsaniah akan terus kekal sebagai tempat ibadah dan pusat penyebaran ilmu agama kepada penduduk setempat.
“Dalam usianya yang sudah lebih 100 tahun, madrasah ini masih berdiri dan diisi dengan pelbagai program keagamaan/ – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN