Pastikan ilmu al-Quran diwarisi - Utusan Malaysia

Pastikan ilmu al-Quran diwarisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Al-Quran merupakan mukjizat terbesar yang diterima oleh baginda Nabi Muhammad SAW dan ia tidak akan musnah sehingga hari kiamat kelak. Umat Islam wajib belajar membaca kalam Allah, disunatkan menghafaz dan perlu memahami makna dan isi kandungannya.
Kitab suci Allah ini adalah pedoman hidup yang menjanjikan kesejahteraan dunia dan akhirat. Lengkap dengan pelbagai aspek keperluan duniawi dan ukhrawi bagi seluruh umat manusia. Justeru, memahami isi kandungannya menjurus kepada kesempurnaan untuk mentaati perintah dan menjauhi larangan-Nya.
Berkongsi pandangan berkaitan, Imam Muda Masjid Wahdatul Ummah Mukim Telaga Papan, Ustaz Zaid Zakaria berkata, memahami isi kandungan al-Quran bermakna faham dengan hukum Islam yang bersumber daripada hadis, ijmak atau qiyas, kerana semua hukum tersebut sumbernya berasal dari al-Quran.
Menurutnya, al-Quran adalah sumber kebahagiaan dunia dan akhirat dengan janji Allah kepada umat yang mempelajari al-Quran bahawa mereka tidak akan hidup sengsara atau berdukacita kerana syafaat al-Quran akan ada bersamanya.
“Mukjizat Allah SWT wajib dikenali dan dipelajari kerana di dalamnya terkandung sifat-sifat Allah. Mengenali Allah dengan mendalami kefahaman terhadap ilmu sifat 20, mengakui keagungan, kebesaran, maha pencipta, maha pemurah, maha pengampun dan maha mengasihani.
“Lebih utama dituntut mempelajari bacaannya dengan tajwid yang betul disusuli mendalami makna dan pengertiannya. Disunatkan menghafaz dan sebaik-baik mempelajari al-Quran adalah dengan kaedah berguru atau bertalaqi,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Zaid, ibu bapa wajib mengajar atau menghantar anak-anak belajar al-Quran dengan berguru pada usia seawal mungkin, paling lewat pada umur tujuh tahun dan perkembangan terkini terdapat banyak kaedah yang membantu menguasai pembacaan al-Quran.
Menurutnya, amalan ibu bapa membaca al-Quran di rumah akan menjadi contoh ikutan anak-anak selain mendapat ganjaran pahala yang dijanjikan Allah SWT dan lebih bermakna peruntukan waktu untuk mempelajari maknanya dengan mempelajari maksud dan tafsiran.
“Apa pun, membaca al-Quran dengan tajwid tidaklah wajib, yang dituntut adalah membaca harakat dan mengucapkan hiruf sesuai yang sebagaimana mestinya. Jadi, peringkat awalan didikan mengenal huruf dan bunyinya adalah satu keperluan manakala, pemahaman maknanya akan menambah pengertian dan kekhusyukan dalam bacaan solat. Belajar sekadar termampu dengan niat mendalami makna yang tersurat, paling tidak untuk ayat-ayat lazim,” katanya.
Zaid memberitahu, Masjid Wahdatul Ummah juga mengambil tanggungjawab mendidik anak-anak seawal usia enam hingga 12 tahun supaya mahir membaca al-Quran menerusi pendidikan kaedah tahfiz dan mengenal huruf sejak 2019 yang mencecah 120 pelajar ketika itu.
Katanya, khidmat mendidik dihentikan kesan kekangan penularan Covid-19 kini dihidupkan kembali dengan pengambilan awal melibatkan 30 kanak-kanak dan remaja yang dikendalikan beberapa tenaga pengajar sebagai pembimbing sehingga mereka berupaya membaca al-Quran.
“Kelas ini adalah sebahagian program mengimarah masjid yang memberi fokus kepada anak muda mencintai masjid. Ia beroperasi pada setiap hujung minggu yang turut menggamit kumpulan sasar untuk solat berjemaah lima waktu,”katanya.
Menurut Zaid, bersesuaian dengan piagam pelanggan masjid itu kaedah pendidikan membaca al-Quran yang dilaksanakan bermula dengan Iqra’, belajar tadarus dan selepas lancar pembacaannya akan dibawa kepada kaedah hafalan.
“Piagam pelanggan masjid adalah memastikan anak mukim tidak buta al-Quran dan mencintai majlis ilmu yang dianjurkan,” katanya.

USTAZ ZAID ZAKARIA
» Usia: 35 tahun
» Asal: Kampung Gajah Mati, Pasir Puteh, Kelantan
» Pendidikan:
 Sekolah Menengah Ugama (SMU) Nurul Falah, Cherang Ruku, Kelantan.
Maahad Saniah, Pasir Puteh, Kelantan.
Pondok Moden Bachok, Kelantan
 Pusat Pengajian Islam Tarim, Hadratulmaut, Yamen
» Tugas hakiki: Imam Muda Masjid Wahdatul Ummah Telaga Papan, Semerak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya