Hargai nyawa, haram bunuh diri

Hargai nyawa, haram bunuh diri

USTAZ MOHD. SHUHAIDI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGHARGAI dan memelihara nyawa adalah prinsip kedua Maqasid Syariah yang utama dalam kelangsungan hidup manusia iaitu menghargai anugerah Allah SWT yang tidak ternilai tingginya.

Nyawa manusia tidak boleh dihapuskan dengan perbuatan membunuh oleh pihak lain atau dibunuh oleh empunya diri sendiri kerana nyawa itu secara hakikinya memiliki hak tersendiri yang perlu dijaga pemilik jasadnya.

Berkongsi pendapat mengenai perkara itu, penceramah bebas Ustaz Mohd. Shuhaidi Ismail berkata, menjadi tanggungjawab ulil amri mengelakkan perkara-perkara yang boleh memudaratkan nyawa rakyat daripada kemusnahan kesan pelbagai faktor termasuk keterlanjuran membunuh diri sendiri.

Menurutnya, perbuatan bunuh diri adalah satu dosa besar yang amat dilarang oleh Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti yang dilakukannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Katanya lagi, daripada Jundub RA, Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud; Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.” (Riwayat al-Bukhari)

“Hadis ini menunjukkan bahawa Allah SWT telah memberi peringatan keras bahawa sesiapa yang membunuh diri tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dan ia sewajarnya menjadi peringatan dan panduan kepada umat manusia untuk tidak menempah kematian menerusi jalan yang tidak sepatutnya, “ katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Tegasnya, umat Islam ditegah meletakkan dan merasakan diri sendiri sebagai ‘hina’ dan tidak berguna di sisi manusia dan makhluk lain yang merupakan satu sifat keji yang wajar dijauhi.

Justeru, katanya, sifat bertanggungjawab kepada diri sendiri merujuk kepada bagaimana cara menguruskan diri sendiri dan daripada aspek agama, kita boleh kaitkan tanggungjawab terhadap diri sendiri ini dengan menyempurnakan tuntutan agama selaku seorang Muslim.

“Bukan itu sahaja, tanggungjawab terhadap diri sendiri juga merangkumi bagaimana kita menguruskan personaliti dan peribadi diri kita. Umpamanya, menjaga pakaian agar sentiasa kelihatan kemas, berjiwa tenang dan mampu menghadapi tekanan hidup,” terangnya.

Menurut Mohd. Shuhaidi, dalam konteks hidup bermasyarakat dan dalam persaudaraan Islam sikap cakna antara satu masa lain, saling bantu membantu dan nasihat menasihati adalah penting yang boleh dijadikan penawar mustajab untuk mengekang kejadian membunuh diri disebabkan tekanan hidup.

Katanya, apabila tidak ada perasaan kasih sayang dalam diri sendiri, membiarkan diri tidak terurus dan menambahkan keserabutan dalam fikiran, maka akan datang suatu penyakit dalam diri iaitu penyakit tidak tenang dan sentiasa marahkan orang lain kerana jiwa sudah dikuasai syaitan yang menyebabkan diri mengambil jalan pintas yang ditegah oleh agama.

“Inilah yang kita takut dan bimbang sekiranya syaitan dengan mudah menguasai diri, maka apa-apa boleh terjadi. Jadi kita sama-samalah menjaga diri daripada terjerat dalam perangkap syaitan laknatullah,” katanya.

Larangan bunuh diri turut terkandung di dalam al-Quran yang bermaksud;”Janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Penyayang kepadamu. Siapa yang berbuat demikian dengan cara melanggar aturan dan berbuat zalim kelak Kami masukkan dia ke dalam neraka. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah SWT (Surah An-Nisa’ – 29-30)

MOHD. SHUHAIDI ISMAIL

  •  Usia : 55 Tahun
  • Asal: Kampung Sungai Petai, Pasir Puteh, Kelantan.
  • Sejarah Pendidikan :
  • Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA)
  • Maktab Perguruan Islam, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  • Jawatan Hakiki: Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Puteh, Unit Sekolah Menengah Dan Tingkatan 6.
  • Tugasan sampingan: Penceramah bebas dan moderator

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.