Boleh berhibur, tapi perlu ada batasnya - Utusan Malaysia

Boleh berhibur, tapi perlu ada batasnya

WAN SYAHMAN WAN YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIBURAN , satu fitrah yang digemari semua manusia. Namun majlis yang melekakan, penuh senda gurauan dan perkara yang tidak berfaedah serta membuang masa, harus dielakkan.
Hiburan adalah gabungan keindahan seni, kehalusan bahasa dan keunikan budaya manusia yang mampu mententeramkan jiwa dan melahirkan kegembiraan.
Islam sentiasa menepati keperluan fitrah dan tidak menghalang umat manusia berhibur selagi mana genre hiburan itu berpaksikan garis pandu dan nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam.
Berkongsi bicara bersama Mingguan Malaysia, Pendakwah Selebriti, Wan Syahman Wan Yunus atau sebelum ini dikenali ramai sebagai Iwan berkata, hiburan khususnya pesta nyanyian yang melekakan, wujud unsur pergaulan bebas antara bukan muhrim, memuji makhluk, melakar keindahan wanita dan sebagainya bukan anjuran agama Islam.
Menurutnya, hiburan dalam Islam adalah suatu yang menenangkan dan mendidik jiwa bukan hanya berfokuskan kepada keinginan mencari keseronokan dan memenuhi runtunan nafsu tanpa batasan.
“Konsep berhibur dalam Islam lebih menjurus kepada mendamaikan jiwa, menenangkan minda dan merehatkan rohani serta jasmani. Tidak terpalit dengan unsur-unsur noda dan dosa yang kita mampu menilainya sendiri.
“Sudah 11 tahun saya berhijrah dari dunia artis atas hidayah yang Allah SWT berikan dengan asbab pertemuan dengan seorang ketua rombongan tabligh dari Sulawesi, Indonesia ketika saya mengadakan konsert dangdut di Singapura ,” katanya ketika ditemui pada Malam Cinta Rasul Pasir Puteh Berselawat di Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.
Ceritanya, detik itu mengubah naluri dan jiwanya untuk berubah tanpa lengah atau sayang melepaskan glamor keduniaan yang ketika itu digelar sebagai Raja Dangdut yang diminati ramai.
Menurutnya, selepas mendekati alim ulama dan guru agama selain menyertai kumpulan dakwah, dia sedar bahawa bukan satu kejayaan dalam hidup tanpa perjuangan untuk menegakkan agama dan syiar Islam.
Selepas itu, dia berubah meninggalkan bait-bait seni kata lagu dan alunan muzik yang mengalpakan.
“Berhibur mengikut susur galur agama dengan memaparkan seni kata yang membina, memuji dan membesarkan Allah SWT, alunan selawat dan zikir serta sirah perjuangan Rasulullah boleh dipersembahkan dalam genre nasyid dan nyanyian.
“Saya masih menyanyi tetapi bukan lagi dalam genre dangdut yang saya anggap sebagai sia-sia dalam kehidupan saya sebelum ini.
“Selama 35 tahun meluahkan perkataan yang sia-sia menerusi dendangan lagu dan persembahan kepada setiap pendengar dan peminat saya,” katanya.
Menurut Wan Syahman, dia berjanji tidak akan menyanyikan lagu-lagu yang ada kaitan dengan makhluk atau memuji keindahan wanita dan duniawi malah akan terus memperjuangkan lagu-lagu nasyid yang ada kaitan dengan Allah SWT, Rasulullah dan ilmu yang bermanfaat kepada khalayak.
Katanya, penegasan terbaik yang perlu difokuskan adalah memastikan tidak berlebihan dalam berhibur sehingga hak-hak Allah dan kewajipan diri sendiri terabai.
Kealpaan ini, katanya, adalah perkara sia-sia yang wajib dijauhi sebagaimana yang termaktub di dalam al- Quran yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan.
“Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil berkata: “Bagi kami amalan kami dan bagi kamu pula amalan kamu; Selamat tinggalah kamu; Kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil.” (Surah al-Qasas ayat 55)
Ibnu Majah meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Malik Al-Asy’aari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya sebahagian daripada umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan bukan nama asalnya dan dialunkan muzik kepada mereka dan dihiburkan oleh penyanyi perempuan. Allah akan membenamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah akan menjadikan mereka kera dan khinzir.”
Tambah Wan Syahman, banyak usaha masih perlu dilakukan untuk membangunkan hiburan Islam dengan natijah melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan indah budi pekertinya.

WAN SYAHMAN
WAN YUNUS

» Umur: 61 tahun
» Lahir : 16 Ogos 1961 di Kisaran, Sumatera Utara, Indonesia.
» Bapa kandung: Berasal dari Kelantan.
» Bekas penyanyi dangdut, penerbit dan komposer (1977-1999)
» Kini pendakwah dan penceramah motivasi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.