Amalan Sunni berteras al-Quran dan hadis - Utusan Malaysia

Amalan Sunni berteras al-Quran dan hadis

Islam ulama
Ketika merangka Perlembagaan Persekutuan, pemimpin bukan Melayu sedar bahawa agama Islam wajib dititikberatkan memandangkan majoriti rakyat Tanah Melayu beragama Islam. – Utusan/Mohd. Firdaus Mohd. Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHLI Sunnah Wal-Jamaah merupakan golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi SAW menerusi para sahabat, tabien dan tabi’ tabien yang setia bersama mereka dalam prinsip-prinsip akidah, syariah dan akhlak.

Mereka adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi SAW mengikut manhaj dan kaedah salaf dan khalaf (Asya’irah dan Maturidiyyah).

Golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah berfahaman sederhana (wasatiyyah), tidak melampau dan tidak terlalu longgar, ini mengeluarkan Khawarij, Syi’ah Rafidhah, Qadariyyah, Jabariyyah, Mu’tazilah, Anti-hadis, Islam liberal, pluralisme agama dan seumpamanya.

Mereka ialah golongan yang mengutamakan perpaduan dan persaudaraan Islam bukan permusuhan, perdamaian bukan peperangan, berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin, tidak taksub sehingga mengkafir atau menyesatkan sesama Islam.

Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Mudir Madrasah Ribat Toha, Kampung Wakaf, di Pasir Puteh, Kelantan, Ustaz Mohammed Zuhairi Razali berkata, Firman Allah SWT (surah al-Insan:30) yang bermaksud : “Dan tidak mereka itu berkehendak melainkan Allah menghendakinya.”

Menurutnya, maksud ayat itu menunjukkan manusia mempunyai kehendak dan kuasa memilih terhadap sesuatu perkara yang telah ditentukan Allah.

 

Dengan contoh, katanya, jika hendak menghilangkan dahaga, kita akan mencari air untuk diminum manakala ikhtiar mencari makanan sekiranya lapar.

“Allah yang menjadikan usaha ikhtiar kepada manusia dengan manusia sendiri yang menentukan ke arah haluan dikehendaki tanpa melanggar ketetapan dan hukum azali.

“Kedudukan Allah dan kemuliaan zat-Nya diletakkan pada aras paling tinggi dan mulia, bukan setaraf kedudukan makhluk dan sifat-sifat umat ciptaan-Nya. Takwil yang muktabar menjadi garis panduan adalah daripada para ulama dan siddiqeen,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mohammed Zuhairi berkata, usaha mendalami ilmu dan mengekalkan iktikad berzuhud kepada Allah SWT, taat perintah dan larangan-Nya, tidak menyama taraf serta zat-Nya melalui tafsiran yang samar dan logik akal.

Pada masa kini, katanya, ada puak yang mengaku sebagai ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi wujud perbezaan iktikad dan amalannya yang seharusnya diteliti oleh semua pihak.

“Ahli Sunnah Wal Jamaah mengamalkan kesederhanaan dalam pelbagai tindakan berasaskan al-Quran, hadis dan sunnah namun pihak lain termasuk wahabi mengambil pendekatan dan tindakan yang lebih ekstrem.

“Ia termasuk mengkafir sesama Islam dan menghalalkan darah sekiranya tidak sealiran dengan fahaman mereka. Ia tidak berlaku di negara kita kerana pengikutnya masih dalam bilangan yang kecil namun buktinya ‘keterlaluan’ telah terjadi di negara Timur Tengah,” katanya.

Menurutnya, kekuatan pihak berkuasa agama Islam di negara ini perlu diberi pujian kerana berjaya menangani penularan fahaman qodariah, jabasiah, mujasimmah, syiah dan wahbiah serta lain-lain ajaran sesat untuk berkembang dengan mudah.

Katanya, pemahaman mendalam mengenai apa itu Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu disebar luas terutama kepada generasi baharu menerusi aspek pendidikan ilmu tauhid, fekah, usulludin, tafsiran hadis sahih dan pelbagai.

Beliau berkata, di negara ini, keseluruhan warga pondok menolak fahaman wahabi secara terang-terangan dan peringatannya sentiasa disebar luas agar kesucian ajaran sebenar terpelihara.

“Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda, kaum Yahudi telah terpecah menjadi 71 golongan atau 72 golongan, dan kaum Nasrani telah terpecah menjadi 71 atau 72 golongan, dan umatku akan terpecah menjadi 73 golongan.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Mohammed Zuhairi berkata, Abdul Razzaq al-Kailani dalam bukunya Syaikh Abdul Qadir Jailani: Guru Para Pencari Tuhan menjelaskan, golongan yang selamat adalah ahli Sunnah Wal Jamaah. Sedangkan 72 dari 73 golongan dalam Islam itu adalah sesat.

USTAZ MOHAMMED ZUHAIRI RAZALI
 Usia: 34
 Asal: Kampung Wakaf, Pasir Puteh, Kelantan
 Sejarah Pendidikan: Sekolah Rendah Arab Permatang Rambai, Pasir Puteh, Kelantan; Maahad Saniah Pasir Puteh, Kelantan; Pondok Seri Permai Seligi, Pasir Puteh, Kelantan; Pondok Moden Kandis, Bachok (4 tahun); Hadralmaut, Yaman – bidang Syariat dan Usulluddin (6 tahun)
 Tugas hakiki: Mudir Madrasah Ribat Toha, Kampung Wakaf

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.