Nick Davis ikhlaskan diri dalam lakonan - Utusan Malaysia

Nick Davis ikhlaskan diri dalam lakonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI kecil pemilik nama Nick Davis ini suka berimaginasi. Apa sahaja watak yang ditonton di kaca televisyen, dia cuba lakonkan semula sewaktu bermain dengan rakan sebayanya.

Pejam celik sekitar dua dekad lalu, anak jati kelahiran Selangor ini mula menjinakkan diri dalam dunia hiburan sebagai pelakon pentas.

Menyentuh soal cabaran berlakon dalam pasaran Melayu, Nick percaya, seorang pelakon berlainan bangsa mampu menghidupkan sesebuah watak dengan baik sekali gus menarik minat penonton apabila fasih dalam pertuturan bahasa Melayu.

“Saya tak menafikan berlakon dalam industri seni yang majoriti pelakon Melayu sebenarnya memang mencabar.

“Tetapi sejujurnya, sekali pun saya tidak pernah terlintas di fikiran memikirkan cabaran pasal kekurangan atau kelebihan diri bila mana sedang bekerja.

“Lagipun, saya anak Malaysia. Mungkin ini sudah biasa didengar, namun berlakon dengan hati yang ikhlas dan jujur pada satu-satu watak itulah kunci utama, selain bahasa Melayu kena baik,” katanya.

Tambah Nick, menerusi pelbagai watak dia sentiasa dapat mempelajari perwatakan baharu dan disebabkan itulah minatnya terhadap bidang lakonan bertambah.

Bercerita tentang tanggapan penonton terhadap pendatang baharu dalam berlakon, Nick bersikap terbuka dengan reaksi khalayak.

“Kritikan itu, baik atau buruk saya terima. Lagipun saya baru dalam industri seni, banyak lagi kena belajar.

“Tugas saya hanya fokus dan buat yang terbaik sahaja,” ujarnya optimis.

Antara pembabitan seni lakonannya seperti Telekinesis arahan Syafiq Yusof, filem Gadoh arahan Nam Ron dan drama bersiri lima episod iaitu Beriani Gam Kak Aspalela.

Raih anugerah skor muzik terbaik
Jejaka ini bukan sahaja berbakat dalam bidang lakonan. Malahan berbakat dalam bidang muzik.

Nick memberitahu, dia tidak seperti pemuzik profesional lain yang mempunyai latar belakang graduan muzik.

Tetapi atas sebab minat yang menebal secara tidak langsung mendorongnya untuk berkecimpung sehinggalah terbukti apa yang dilakukannya sentiasa berhasil.

“Bidang yang satu ini pun saya minat juga. Dulu saya pernah aktif sebagai pemuzik indie. Pada 2009 saya fokus skor muzik dengan menghasilkan lagu tema filem atau pun runut bunyi.

“Bila sudah minat dan tamat pengajian Diploma Seni Persembahan, sebolehnya saya tidak mahu terikat dengan waktu bekerja formal. Jadi saya beli komputer dan belajar sendiri, perlahan-lahan hasilnya saya dapat rezeki.

“Cumanya tidak lama, hanya untuk beberapa tahun sahaja. Kemudian aktif semula dengan berlakon menerusi filem pendek dan iklan,” jelasnya.

Untuk rekod, Nick pernah menjulang trofi Skor Muzik Asal Terbaik menerusi filem Two Sisters arahan sutradara terkenal iaitu James Lee pada Festival Filem Malaysia ke-30.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.