NORWANI Abdul Latif Ooi pernah hampir berputus asa kerana gagal menyerlah selepas beberapa kali mencuba nasib menjadi penyanyi. Malah anak seni yang membawa nama pentas Wanie Ooi itu nyaris melupakan hasrat itu kerana merasakan usahanya sia-sia meskipun pernah memasuki pertandingan The Band dan Lagu Cinta Kita.
“Saya tidak menafikan, kita akan mula keletihan apabila sering gagal selepas berulang kaki mencuba. Saya nyaris putus asa.
“Tapi saya sedar menyerah kalah bukan pilihan kerana saya tidak boleh sia-siakan pengorbanan ayah dan arwah ibu yang bersusah payah memastikan impian saya menjadi penyanyi, tercapai.
“Saya tidak lupa ketika arwah ibu terpaksa membonceng motosikal untuk menghantar saya berlatih menyanyi. Besar pengorbanan mak ayah untuk membawa saya ke tahap sekarang. Perkara itulah membakar semangat,” katanya.
Anak jati Jitra, Kedah ini,pada masa sama meluahkan rasa lega kerana dapat membantu mengurangkan beban keluarga dengan hasil pendapatan menyanyi.
“ Setidaknya, dapat membahagiakan mereka yang dahulunya berkorban tenaga dan wang untuk merealisasikan hasrat saya menjadi penyanyi,” katanya.
PENAT MELATAH
“Saya tertekan kalau diganggu secara berterusan.”
Demikian luahan Wanie mengenai sindrom terkejut berlebihan (latah) yang ‘menjangkitinya’ sehingga kini. Dia yang berusia 30 tahun mengakui ada ketikanya mengalami tekanan dan kepenatan melampau kerana masalah itu.
“Melatah ini memenatkan. Ramai tidak tahu, banyak tenaga terbuang kerana melatah. Pinggang juga terasa sakit. Sebab itu, sampai satu tahap saya terpaksa minta berhenti diganggu,” katanya.
Pada masa sama, Wanie memaklumkan perlu belajar mengawal masalah itu daripada bertukar menjadi teruk kerana mengganggu pekerjaan.
“Kalau berlakon watak komedi tak menjadi masalah. Cuma bila membawa watak serius, saya terganggu apabila ada yang sengaja membuat saya melatah. Sebab itu, saya berusaha kawal perangai itu supaya tidak bertukar keterlaluan,” kongsinya.









