Dulu dipandang rendah, sekarang dijulang - Utusan Malaysia

Dulu dipandang rendah, sekarang dijulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIMIFLY selayaknya diangkat sebagai antara penyanyi paling menonjol sepanjang tahun lalu. Perkara itu terbukti menerusi pencapaiannya.Satu per satu kejayaan diraih. Bertitik tolak sambutan luar biasa terhadap single Angkat yang popular awal 2025, meraih 7 juta tontonan di Youtube.

Namanya kemudian terus melonjak apabila lagu Serumpun diterbitkan Mac lalu. Kini, Shamimi Amalina Norhisham disebut-sebut sampai ke negara jiran.

Tidak kekal dalam zon selesa, Mimi terus melangkah dengan beberapa single lain antaranya Sahabat, Nara dan terbaharu, Temberang.

Perjalanan karier bekas vokalis One Nation MC ini bertambah rancak. Namun, anak jati Selangor ini tidak berubah sikap. Dia masih Mimifly yang sama, yang dulu pernah dipandang sebelah mata.

“Saya orang yang sama, tidak hanyut dek pujian, tidak mendongak kerana disanjung,” katanya.

 

MASIH ‘SEMPOI MACAM DAHULU

Menurutnya, pencapaian tidak mengubah dirinya, malah membuatkan rasa rendah diri. Tidak pernah pula terasa diri ini ‘besar’ bila di atas.

“Mungkin yang berubah adalah keyakinan diri kerana ia semakin bertambah. Dulu dalam fikiran saya penuh keraguan tapi sekarang ini saya lebih yakin dengan kemampuan sendiri,” katanya.

Tapi, setiap kejayaan itu membuka mata. Mimi sedar diri, bila berada di atas, layanan orang juga naik ke ‘atas’.

“Dulu orang layan saya berbeza. Pernah dikata penyanyi sendu dan tidak punya apa. Ya, saya pernah berada dalam fasa itu dan saya tidak pernah lupa tentangnya. Saya sedar, layanan berbeza bila kita berjaya. Itu yang membuka mata saya.

“Itu pengajaran untuk diri saya. Jangan membeza-bezakan orang kerana pencapaian mereka. Layan sama rata. Kita nilai orang dari sudut hatinya.

“Tapi saya tidak bersangka buruk dengan orang. Saya ini sudah 17 tahun menyanyi, bermacam-macam jenis orang saya jumpa. Yang suka dan tidak suka saya.

“Yang penting, orang yang dari dulu berada disamping saya, masa saya tidak ada apa sampailah sekarang. Mereka inilah saya jaga dan hargai kerana keikhlasan mereka besar nilainya,” kongsinya.

 

HARGAI KRITIKAN, KOMEN NEGATIF

Pemenang kategori Lagu Pop Elektronik/ Dance Terbaik, Anugerah Industri Muzik ke-24 ini juga puas berdepan pelbagai kritikan, kecaman dan komen negatif.

Dilabel pencemar budaya kerana menyatukan elemen tradisional dan moden dalam lagu-lagunya selain dianggap penyanyi stereotaip kerana genre yang sama. Namun Mimi bukan sahaja menghargai, malah mengalu-alukan segala bentuk pandangan. Baginya, baik atau buruk komen yang ditulis tentang hasil kerja tidak menjatuhkan, malah lebih mengangkat seseorang penyanyi itu.

“Saya suka orang bercakap pasal saya. Saya alu-alukan dan menanti komen mereka. Tidak kisahlah baik atau buruk, saya hargai semuanya.

“Saya pernah berada dalam fasa tiada siapa pun yang berminat bercakap pasal muzik saya. Tak dipandang. Keluarlah seberapa banyak lagu sekalipun, tidak ada yang kisah.

“Saya rasa mental seorang anak seni akan terancam kalau tiada sesiapa berminat bercakap pasal kerja mereka.

“Jadi, sekarang ini saya harap orang bercakap pasal saya kerana saya lebih gembira dan lega disebabkannya. Saya merasakan karya saya menjadi sempurna bila diperkatakan,” ujarnya.

BELUM SEDIA MENGADAKAN KONSERT

Dalam ramai penyanyi berlumba-lumba mengadakan konsert pada masa sekarang ini, Mimi memilih jalan berbeza.Dia berpijak di bumi nyata dan sedar yang dirinya belum bersedia untuk mengadakan konsert solo meskipun keinginan ke arah itu, ada.

“Ramai yang bertanya soalan yang sama. Saya realitinya belum bersedia. Dengan jumlah lagu yang saya ada, masih belum melayakkan saya untuk mengadakan konsert.

“Saya seronok melihat rakan artis yang lain mengadakan konsert. Saya belum berkemampuan seperti mereka. Dan saya pun tidak tahu yang saya ini akan ada konsert solo atau tidak.

“Buat masa ini, biarlah saya tumpukan pada penghasilan lagu terlebih dahulu. Bila jumlah lagu itu sudah mencukupi, kalau ada rezeki, barulah boleh merancang untuk konsert,” ujarnya.

Mimi pada masa sama tidak menafikan ramai penganjur yang menghubunginya, menyatakan minat dan kesediaan mereka untuk menganjurkan konsert solonya.

“Bukan sahaja penganjur tempatan, malah yang luar negara pun ada. Mereka berminat untuk bawa saya ke Singapura dan Indonesia.

“Tetapi saya terpaksa menolak secara baik. Saya teguh dengan pendirian yang saya ini belum bersedia mengadakan konsert,” kongsinya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN