Jika penonton benci, bermaksud lakonan saya menjadi.”
Demikian pandangan pelakon, Azah Aziz mengenai reaksi penonton terhadap watak antagonis yang dibawakannya.
Jika diperhatikan, aktres jelita ini sering menghidupkan watak jahat sejak dia pulang ke Malaysia dan kembali berlakon pada 2023.Antaranya Fateeni menerusi drama Racun Rihanna dan Frieda (Ternyata Sebuah Bahagia) yang ditayangkan pada 2024. Watak antagonis bukan karakter asing bagi pelakon yang lahir dan membesar di Kuala Lumpur ini.
Bahkan, empunya nama penuh Norazah Aziz ini pernah menuai kebencian ramai pihak disebabkan watak Erina yang dihidupkannya dalam menerusi drama Idaman musim pertama (1998).
“Watak perempuan yang merampas suami atau teman lelaki perempuan lain tidak sebanyak sekarang.Jadi, watak Erina dalam drama Idaman menonjol kerana dibenci penonton.
“Saya masih ingat, disebabkan terlalu meluat dengan Erina, muncul sekumpulan wanita berstatus Datin yang mengarahkan penerbit mengubah karakter itu menjadi baik. Kerana itu watak Erina berubah sikap sebelum dimatikan,” kongsi Azah.
Berkongsi lanjut, Azah memaklumkan dia pernah diherdik oleh seorang wanita di tempat umum kerana watak berkenaan.
“Saya pernah didatangi seorang wanita pertengahan usia ketika bersiar-siar di sebuah pusat beli belah di Kuala Lumpur.Dia memarahi dan menggelarkan saya ini perempuan sundal kerana berang dengan watak Erina.
“Saya minta dia bertenang dan menjelaskan kepadanya yang ditontonnya itu sekadar lakonan. Ketika itu saya mula sedar yang lakonan saya menjadi,” ujarnya.
Ibu tiga cahaya mata ini mengakui seronok melakonkan watak jahat kerana baginya karakter jenis itu mencabar.
“Sejak kembali berlakon, banyak watak baik yang saya tolak. Antaranya karakter ‘air mata’ dan perempuan luar bandar. Pada fasa sekarang ini, saya mungkin perbanyakkan watak antagonis. Saya idamkan peranan yang berlawanan dengan sikap sebenar saya,” kongsinya.

Antara keluarga dan kerjaya
Dunia peragaan pada usia belasan selepas menyertai pertandingan Dewi Remaja 1987/1988.Anak jati Kampung Baru, Kuala Lumpur ini sebelum bergelar pelakon, pernah menjadi penari The Kit Kat Club dan pada masa sama bergelar bintang iklan.
Kerjaya lakonannya bermula pada era 90-an, dengan Kuntum Terbuang menjadi antara drama terawal selain sering menghiasi slot Spektra di RTM.
Nama Azah semakin menyinar dengan peranan pembantu dalam drama Selamat Hari Jadi Su sebelum menggalas peranan utama menerusi drama Cinta Korporat arahan Tony Francis Gitom.
Pada 1998, Azah membarisi senarai pelakon drama Idaman, yang merupakan drama pertama di Astro.
Idaman menjadi drama terakhir dilakonkannya sebelum mengikut suami berpindah ke luar negara.
“Demi keluarga saya terpaksa tinggalkan karier lakonan yang pada ketika itu sedang memuncak.Bukan mudah membuat keputusan. Apabila memilih mengikut suami berpindah ke Perancis, bermaksud saya tinggalkan terus kerjaya lakonan yang sudah stabil.
“Bahkan, pendapatan bulanan yang saya terima hasil berlakon drama dan iklan boleh dikatakan lumayan, antara RM20,000 hingga RM25,000.Jumlah itu melebih pendapatan suami saya yang ketika itu bekerja sebagai pengurus dan baru bermula membina kerjaya.
“Tapi ketika saya percaya suami mampu menanggung keluarga jika saya tinggalkan kerjaya di Malaysia dan mengikut dia berpindah,” kongsinya.

Turun naik kehidupan
Ramai wanita memaklumkan yang mereka mendambakan kehidupan yang dimiliki pelakon berusia 53 tahun ini, yang disifatkan senang dan ibarat tidak dihimpit masalah.
Hakikatnya, sebelum kesenangan yang dinikmati sekarang ini, Azah Aziz melalui kehidupan mencabar sepanjang lebih dua dekad membina keluarga.
“Saya terima banyak mesej peminat di media sosial yang mana mereka maklumkan seronok menjadi saya yang berkeluarga, berkemampuan pergi melancong, dan membeli belah, melakukan aktiviti digemari dan sebagainya.Ramai yang tidak tahu, kehidupan yang saya jalani hari ini adalah selepas bertahun-tahun berpenat lelah mengabdikan diri untuk membesarkan keluarga.
“Ketika usia saya menjangkau 30 dan 40-an, seluruh masa saya habiskan untuk keluarga, menguruskan rumah tangga dan membesarkan anak-anak. Hidup saya hanyalah bersama mereka. Saya tidak miliki pembantu, semua saya buat sendiri.
“Ketika itu saya tidak berpeluang untuk berseronok kerana hidup saya menguruskan keluarga manakala suami pula mencari nafkah. Orang tidak tahu kami juga lalui cabaran dalam perkahwinan, kehidupan kami pernah susah.Sekarang pada usia 50-an, barulah saya berpeluang menikmati keseronokan hidup sebab anak-anak sudah besar, mampu menguruskan hidup mereka sendiri,” katanya.
Niat memeriahkan industri seni
Kepulangan Azah dalam dunia lakonan bukan untuk mengejar anugerah sebaliknya aktres berkulit hitam manis ini sekadar mahu memeriahkan dunia hiburan tanah air.
“Alhamdulillah, setakat ini, selepas pulang ke tanah air, saya sudah lakonkan enam drama sebelum berehat seketika pada tahun lepas.Saya kembali untuk memeriahkan industri, tiada anugerah yang saya kejar, tiada apa lagi yang mahu saya buktikan.
“Ada pengarah yang tawarkan watak berat, saya tolak kerana tidak bersesuaian.Pada tahap sekarang ini, saya mahu bersantai-santai sahaja. Mengisi masa terluang dengan aktiviti yang saya gemari. Fasa hendak menang anugerah pada saya sudah berlalu,” ujarnya.










