Aduhai, kecoh satu Malaya bila pelakon popular, Uqasha Senrose, tampil membuat kenyataan bahawa dirinya berhadapan dengan kemudaratan fizikal dan mental dalam rumah tangganya.
Kenyataan yang pendek, ringkas, tetapi cukup untuk membuatkan seluruh warganet terus menggelupur hendak tahu apa sebenarnya berlaku.
Tapi seperti biasa, Uqasha cuma ‘membuka pintu, tak bagi masuk pun.’ Dia cuma berkongsi hal itu secara umum tanpa menghuraikan apakah bentuk kemudaratan yang dimaksudkan. Dan di sinilah bermulanya drama baharu.
Di satu sudut, ramai netizen bersimpati. Di satu sudut lagi, ramai pula yang mempersoalkan sebab kenyataannya dianggap ‘tergantung separuh jalan’.Cik Bunga sendiri garu kepala.
Kalau sudah rasa mahu beritahu, beritahu betul-betullah, kan? Bukannya Cik Bunga hendak mengorek benda tertutup, tapi bila sebut pasal kemudaratan, itu istilah yang besar, berat, dan sensitif.
Benda begini pula, kadang-kadang memang tidak boleh dihuraikan panjang sebab ada kaitan dengan proses mahkamah. Jadi, kita faham, tapi netizen? Hmmm, tidak semua boleh faham.
Yang geram itu, netizen kata kenyataan separuh masak begitu membuatkan mereka tertanya-tanya dan akhirnya ada pula yang menyebelahi Kamal Adli, suami Uqasha.
Walhal semua pun tahu, tidak ada manusia sempurna, suami pun ada silapnya, isteri pun ada bahagian masing-masing. Tetapi bila maklumat tak jelas, orang awam pun mulalah membentuk cerita sendiri. Itulah bahaya bila berkongsi sesuatu yang berat, tapi tidak lengkap.
Kesimpulannya? Semua orang boleh bercakap dan buat andaian terhadap rumah tangga mereka tapi tidak ada siapa yang tahu apa sebenarnya terjadi.
Cik Bunga pun hanya mampu tunggu dan lihat. Mudah-mudahan bila sampai masa nanti, segala persoalan terjawab dengan cara baik.









